JSJK Tumpas Sindiket Scam Pelaburan, 57 Individu Ditahan di Labuan

Estimate Reading Time: < 1 minute

LABUAN 2 Jun 2026 (The Capital Post) – Polis menahan seramai 57 individu dalam satu operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang berjaya menumpaskan sindiket penipuan pelaburan dalam talian di sebuah premis di Labuan semalam.

Operasi yang dijalankan sekitar jam 8.40 pagi itu hasil risikan Bahagian Risikan/Operasi JSJK Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah bersama beberapa Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) di Sabah dan Labuan.

Menurut pihak berkuasa, kesemua yang ditahan terdiri daripada 48 warga China, lapan warga Vietnam dan seorang warga Malaysia, melibatkan 50 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 hingga 46 tahun.

Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti penipuan pelaburan secara dalam talian yang menyasarkan mangsa di Korea Selatan, dengan premis tersebut turut dijadikan tempat tinggal ahli kumpulan.

-Advertisement-

Hasil serbuan turut membawa kepada rampasan pelbagai peralatan dan barangan yang digunakan untuk kegiatan berkenaan dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM131,500.

Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Labuan bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut. – The Capital Post