PENAMAAN nasab anak tidak sah taraf menggunakan nama ‘Abdullah’ menggantikan nama ibu sebagai jalur sah wajar dimurnikan kembali selepas hampir 25 tahun digunakan di negara ini.
-Advertisement-
Ini berikutan kesan psikologi dan masalah sosial dihadapi seseorang anak tidak sah taraf apabila penggunaan nama ‘Abdullah’ dinormalisasikan. Ketika melakukan kajian di peringkat ijazah kedoktoran, didapati kesan tidak baik berlaku kepada tumbesaran anak dalam kehidupan mereka.
Kajian itu menjadikan individu dalam kalangan anak tidak sah taraf selaku mangsa keadaan dan penjaga mereka sebagai responden utama, selain turut mengambil pandangan pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja, pakar psikologi, wakil pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta wakil mufti.
Hasil dapatan kajian itu menyokong dan mengukuhkan lagi fatwa kebangsaan bahawa anak tidak sah taraf tidak wajar dinasabkan kepada bapa biologinya berasaskan dalil dan pentarjihan fuqaha.
Namun, penggunaan nama ‘Abdullah’ menggantikan nama ibu sebagai jalur sah bagi tujuan mengelakkan kesan psikologi dan masalah sosial, seperti diinginkan fatwa pada 25 tahun lalu tidak selari dengan realiti berlaku.
Anak tidak sah taraf dinamakan dengan nama ‘Abdullah’ bukan sahaja mengalami kesan psikologi, bahkan turut mengundang kepada masalah sosial.
Isu penamaan antara faktor utama daripada banyak punca menyebabkan anak tidak sah taraf mengalami kesan psikologi dan masalah sosial. Menurut pakar psikologi dan psikiatri kanak-kanak dan remaja, terdapat dua faktor utama lain turut memberikan kesan psikologi dan masalah sosial, iaitu masalah proses pembentukan identiti dan stigma masyarakat.
Diakui kesan psikologi dan masalah sosial dihadapi anak tidak sah taraf bukanlah sepenuhnya berpunca isu penamaannya sahaja. Ini kerana walaupun penamaan diubah, stigma dan kelakuan sosial masyarakat masih tidak berubah, kesan psikologi dan masalah sosial dihadapi akan tetap berterusan tanpa titik noktah.
Namun, pakar psikologi dan psikiatri kanak-kanak serta remaja juga tidak menafikan dakwaan penamaan ‘Abdullah’ turut memberikan kesan psikologi dan masalah sosial kerana ia memburukkan lagi stigma masyarakat, apatah lagi menimbulkan kekeliruan umum.
Mereka beranggapan semua nama ‘Abdullah’ itu adalah anak tidak sah taraf, sekali gus menjadikan usaha menghapuskan stigma itu memerlukan penyelesaian. Justeru, ia perlu ditangani dengan kaedah dan pendekatan lain agar kepentingan semua pihak dapat dipelihara.
Oleh itu, semua pakar turut memberikan cadangan lebih baik kepada penamaan nasab anak tidak sah taraf demi menjaga semua pihak termasuk anak tidak berdosa. Ini membuktikan isu penamaan itu signikan kepada anak tidak sah taraf kerana melambangkan identiti dan jati diri mereka.
Sekiranya penamaan mereka dikekalkan kepada ‘Abdullah’ walaupun dipelihara dan dijaga dengan baik, perubahan psikologi dan masalah sosial mereka tetap terkesan bahkan secara drastik dan tiba-tiba.
Hal ini diperakui sendiri penjaga anak tidak sah taraf selama menjaga mereka dari awal kanak-kanak hingga remaja. Bukan itu sahaja, stigma masyarakat juga akan dapat dielakkan sekiranya penamaan ‘Abdullah’ menampakkan status anak tidak sah taraf dapat dilindungi.
Kurangkan stigma masyarakat
-Advertisement-
Kajian itu percaya sekiranya status anak tidak sah taraf dilindungi daripada pengetahuan awam, stigma masyarakat dapat dikurangkan. Namun sekiranya penamaan kepada ‘Abdullah’ itu ditonjolkan dan diketahui status terbabit, agak sukar stigma itu untuk dibuang apatah lagi dengan pelbagai kerenah masyarakat.
Walaupun penamaan nasab anak tidak sah taraf tidaklah begitu ekstrem hingga menggugatkan nyawa mereka, dimensi rohani dalam menjaga jiwa wajar dipelihara dalam fatwa penamaan nasab berkenaan.
Tambahan lagi, walaupun kajian itu sependapat dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu penamaan nasab anak tidak sah taraf dengan tidak menamakan nasab mereka dengan bapa biologinya, itu tidak bermaksud kajian terbabit bersetuju dengan fatwa menamakan nasab mereka kepada nama ‘Abdullah’.
Ini kerana tidak terdapat satu dalil putus dan jelas berkaitan penamaan nasab menggunakan nama ‘Abdullah’ bagi menggantikan nama ibu.
Kajian itu juga bersetuju tidak menasabkan anak tidak sah taraf kepada bapa biologinya bertujuan meraikan maslahat umum daripada maslahat khusus seperti kaedah maqasid pernah disebut ‘Ilal al-Fasi (meninggal dunia pada 1394 H), iaitu mendahului maslahat umum daripada maslahat khusus.
Namun, ia tidak bermaksud maslahat umum perlu didahului daripada maslahat khusus itu menyebabkan maslahat khusus itu terus diabaikan dan ditinggalkan dalam pengeluaran fatwa.
Walaupun tidak menasabkan anak kepada bapa biologinya atas sebab untuk menjaga maslahat umum, iaitu mengelakkan zina dalam masyarakat, maslahat khusus ke atas anak tidak sah taraf yang dinamakan dengan nama ‘Abdullah’ juga perlulah diambil perhatian tanpa diabaikan.
Oleh itu, fatwa penamaan nasab anak tak sah taraf dinamakan dengan nama ‘Abdullah’ perlu mengutamakan maslahat umum dan memelihara maslahat khususnya semampunya boleh tanpa ditinggalkan begitu sahaja.
Ini bertujuan fatwa dikeluarkan bukan sahaja meraikan maqasid, iaitu menjaga keturunan semata-mata, bahkan tidak mengorbankan maqasid menjaga diri, jiwa dan nyawa anak tidak sah taraf itu sendiri.
Ia selari dengan peredaran masa dan zaman agar fatwa penamaan nasab anak tidak sah taraf akan menjadi lebih relevan pada masa akan datang. Oleh itu, penamaan ‘Abdullah’ menonjolkan identiti anak tidak sah taraf dalam masyarakat selama tempoh hampir 25 tahun diaplikasikan di Malaysia perlu dilihat dan dimurnikan kembali.
Ini bertujuan agar penamaan nasab anak tidak sah taraf sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kesan psikologi dan masalah sosial walaupun isu penamaan hanyalah sebahagian punca utama kepada berlakunya masalah berkenaan.
Apatah lagi, cara dan kaedah menjaga diri masyarakat itu juga perlu dipelihara agar teori hifz al-nafs itu mendasari maslahat umum dan maslahat khusus tanpa diabaikan salah satu daripadanya.
Penulis adalah Pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam & Sains Sosial, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS)
-BeritaHarian