Rahsia evolusi kebaya

Estimate Reading Time: 3 minutes

DIKENALI sebagai busana wanita tertua di Malaysia sejak berabad lamanya dan masyhur ketika tahun 1800, pastinya baju kebaya ini mempunyai ‘rahsia’ tersendiri kerana keunikan, keanggunan dibawa sehingga menjadi lambang identiti warisan kebangsaan.

-Advertisement-

Rata-rata anak muda hari ini, mungkin hanya mengenali baju kebaya sama ada baju kebaya pendek atau panjang, namun sejarah, evolusi, bagaimana dan bila baju kebaya itu bermula, agak kurang diketahui.

Mereka lebih terdedah pada zaman kebaya dijadikan dalam pelbagai fesyen seperti kebaya peplum atau kebaya dipadankan dengan seluar.

Kurator Muzium Tekstil Negara, Salmiahwati Djafar, berkata baju kebaya ini mesti ada tiga elemen, iaitu berbelah dan pesak di depan dan dipadankan dengan kerongsang ibu anak, jika selain itu ia bukannya kebaya.
Tarikh sebenar baju kebaya mula dipakai tidak dapat dipastikan, namun berdasarkan bukti bergambar, dipercayai kebaya sudah digayakan secara meluas di Tanah Melayu oleh wanita Melayu bermula tahun 1800, tidak kira peringkat bangsawan dan rakyat biasa.

“Bagaimanapun, kebaya pertama dikenali sebagai baju kebaya labuh sehingga ke paras buku lali, berpotongan longgar dan lurus, belah di hadapan, berkekek, berpesak di hadapan, hujung lengan besar dikatakan mempunyai pengaruh Islam dari Timur Tengah yang datang berdagang di Tanah Melayu.

“Yang membezakan dengan pengaruh Timur Tengah ialah masyarakat Melayu dan Jawi Peranakan memakai bersama kain batik sarung dan menambah kelainan menyematkan kerongsang ibu anak di bahagian depan baju.

“Lama-kelamaan, kebaya labuh dipendekkan ke paras bawah lutut dan atas lutut dikenali kebaya sekerat tiang atau separuh tiang serta kebaya pendek potongan tradisional hingga ke paras menutupi pinggul, namun masih kekalkan ciri-ciri potongan sama,” katanya.

Turut digayakan Cina Peranakan, Chetti

Katanya, kebaya labuh ini turut digayakan masyarakat Cina Peranakan yang dijumpai melalui bukti bergambar pada 1920-an di Melaka, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu serta kaum Chetti di Melaka yang mempunyai potongan sama dengan kebaya labuh.

“Cirinya sama bezanya, hanya pada hujung lengan mengecil, material digunakan ialah kasa jarang dipakai bersama anak baju berwarna putih berlengan panjang atau tiga suku, labuh ke paras pinggul dan berkolar.

“Jika baju panjang diperbuat daripada kain kapas atau sutera tebal, digayakan bersama anak baju,” katanya.

Kebaya ini melalui evolusi perkembangan sehingga muncul variasi kebaya yang dikategorikan sebagai kebaya tradisional, kebaya moden dan kebaya fesyen kekal digayakan pelbagai kaum sehingga hari ini.

Kebaya separuh atau sekerat tiang

Salmiahwati berkata, awal 1920-an, kebaya melalui evolusi potongannya semakin pendek tetapi masih longgar, mungkin ingin disesuaikan dengan keselesaan, iaitu kebaya bawah lutut dan atas lutut atau dikenali sebagai separuh atau sekerat tiang.

“Selepas itu muncul pula kebaya pendek menutupi pinggul dengan ciri sama masih dikekalkan. Penghujung 1920-an, kebaya mengikut potongan badan mula dipakai.

“Ia dimulakan Cina Peranakan, menggayakan kebaya renda dan ada dart di belakang supaya terserlah bentuk badan wanita.

-Advertisement-

Masyarakat Melayu juga ketika itu menggayakan kebaya renda.

“Pada 1930-an, kebaya biku muncul rekaan berbentuk seperti ‘scallop” digayakan Cina Peranakan dan orang Melayu.

“Kebaya biku lebih banyak digayakan oleh orang muda dan selain dipadankan dengan kain sarung.

Cina Peranakan gemar menggayakan dengan kain batik pekalongan, lasem dan cirebon berasal dari Indonesia,” katanya.

Kebaya sulam Cina Peranakan

Seiring perubahan zaman, kebaya mengalami evolusi sesuai dengan keadaan, permintaan dan teknologi dibawa masuk ke Tanah Melayu.

Pada 1940-an, kebaya sulam mula digayakan berikutan ada mesin sulam dibawa masuk dan ramai tukang jahit semakin mahir dalam menghasilkan kebaya moden ini.

“Apa membezakan antara kebaya dipakai masyarakat Melayu dan Jawi Peranakan lebih bermotifkan tumbuh-tumbuhan, manakala Cina Peranakan lebih bermotifkan haiwan mengikut adat dan budaya masing-masing.

“Selain teknik sulaman dibawa masuk, kebaya Cina Peranakan mempunyai rekaan ketuk lubang di bahagian lengan, belakang dan dipesak bagi memperlihatkan lagi seni kerja halus dan seri pada pakaian berkenaan, sehingga kini hanya ada satu kedai di Ampang memiliki mesin itu.

“Selang 10 tahun kemudian, potongan kebaya semakin lama semakin mengikut badan di mana kebaya Kota Bharu yang dipengaruhi kebaya dari Indonesia yang memiliki bahagian ‘lidah’ di hadapan baju dan mula dipakai dan disukai wanita di Kelantan.

“Potongan kebaya Kota Bharu ini boleh dilihat pada pemakaian pelakon Fazura dalam filem Dendam Pontianak.

“Pada tahun sama, ada kebaya bandung yang tiada ‘lidah’ di hadapannya, biasanya digayakan oleh seniwati Saloma,” katanya.

Pesona kebaya

Pesona pemakaian kebaya tidak lengkap tanpa aksesori perhiasan diri seperti cucuk sanggul, subang, rantai leher, kerongsang, tali pinggang, selendang, gelang tangan, cincin, sapu tangan (bagi Cina Peranakan dan Chetti), gelang kaki dan kasut.

Difahamkan semakin banyak aksesori digayakan, semakin tinggi status seseorang. Semakin besar ibu kerongsang disemat di baju, ia melambangkan kekayaan seseorang.

Uniknya wanita memakai kebaya, mereka akan menggayakan dengan kasut. Bagi masyarakat Melayu, mereka memakai tekad benang emas, manakala Cina Peranakan menggunakan kasut seret atau kasut tongkang bertutup, manakala kasut manik digayakan dengan kebaya pendek.

Bagi mengetahui lebih banyak rahsia kebaya dan gambaran jelas mengenai evolusinya, orang ramai boleh berkunjung ke Muzium Tekstil Negara sempena Pameran Rahsia Kebaya menampilkan 60 koleksi kebaya yang berlangsung sejak 19 Oktober lalu hingga 31 Disember ini.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373