PETALING JAYA: Kastam New Zealand semakin bimbang dengan rekod penyeludupan rokok haram ke negara itu melalui sindiket jenayah Malaysia, dengan kira-kira 7 juta rokok dirampas di Auckland sejak 6 minggu lalu.
Pengurus Siasatan Perkhidmatan Kastam New Zealand, Bruce Berry berkata, 6.9 juta rokok sebahagian daripada 3 rampasan berasingan dari pertengahan Julai hingga akhir bulan lalu, yang semuanya dipercayai ada kaitan dengan sindiket jenayah sama yang beroperasi di luar Malaysia.
“Ini, menurut piawaian New Zealand, berskala besar. Kita tidak biasa melihat kontena besar (rokok haram) dari Malaysia,” katanya kepada FMT.
“Secara amnya, rokok haram di New Zealand datang dari China dan tidak disembunyikan dengan baik.
“Tetapi, dalam kes (Malaysia) ini, rokok disembunyikan dalam bahan binaan yang direka dan dibina secara khusus untuk menyembunyikan (rokok). Ini penyembunyian canggih.
“Jumlah yang diimport, dan bentuk penyembunyian, juga menunjukkan ia adalah sindiket penyeludupan terancang.”
Katanya, walaupun kemunculan penyeludup rokok Malaysia tidak mengejutkan kerana sindiket Malaysia sudah terlibat dalam penyeludupan dadah dan pendatang asing tanpa izin, tetapi ini kali pertama agensi kastam menyaksikan rokok diseludup dalam skala besar.
Dalam rampasan bersejarah ketika itu, 2.2 juta rokok dijumpai di Auckland pada Julai dalam timbunan bingkai logam yang dihantar dari Malaysia dan diisytiharkan sebagai unit sambungan bumbung.
Sebelum ini, rampasan tembakau terbesar di negara itu menerusi satu penghantaran ialah 340,000 batang rokok pada akhir 2018.
Harga rokok di New Zealand antara tertinggi di dunia dan rokok haram dilihat sebagai perdagangan menguntungkan bagi sindiket jenayah – dengan negara itu kerugian kira-kira NZ$287.4 juta (RM796.8 juta) dari segi cukai kepada pasaran gelap tembakau tahun lalu.
Berry berkata, Australia menyaksikan pengimportan rokok haram secara besar-besaran selama bertahun-tahun, dan dipercayai kumpulan penjenayah sama menyasarkan Australia kini menjadikan New Zealand sebagai sasaran mereka.
Susulan rampasan 2.2 juta batang rokok dari Malaysia pada pertengahan Julai itu, Kastam New Zealand turut menghalang satu lagi penghantaran 2.39 juta batang rokok pada awal Ogos dan menghentikan penghantaran ke-3 sebanyak 2.31 juta rokok pada akhir bulan lalu.
Duti dan GST tidak berbayar untuk 3 rampasan itu berjumlah NZ$8.52 juta (RM23.58 juta).
Empat rakyat Malaysia ditangkap berhubung 3 rampasan itu, di mana 2 daripadanya dibebaskan dengan jaminan dan 2 lagi dalam tahanan polis.
“Kita menasihatkan polis dan kastam Malaysia mengenai penahanan itu dan dalam proses menempatkan seorang pegawai Kastam New Zealand sebagai pegawai perhubungan di Kuala Lumpur, tetapi prosesnya ditangguhkan kerana Covid-19,” kata Berry.
“Dia (pegawai perhubungan) bertindak sebagai orang tengah untuk memastikan maklumat disampaikan kepada pihak berkuasa Malaysia, dan penting bagi Perkhidmatan Kastam New Zealand bekerja keras dengan pihak berkuasa Malaysia untuk menghalang rantaian bekalan (rokok haram).”
-FMT