Kawalan ketat sempadan, 620 PATI ditahan

Estimate Reading Time: < 1 minute

BAU: Tentera Darat Malaysia (TDM) menahan 620 pendatang asing tanpa izin (PATI) sepanjang pelaksanaan Op Benteng di sempadan Sarawak-Kalimantan Barat bermula Mei hingga 31 Disember tahun lalu.

-Advertisement-

Panglima 1 Divisyen Infantri Malaysia, Datuk Dzulkafli Mustapha, berkata 37 tekong darat turut ditahan dalam tempoh sama.

Beliau berkata, penahanan itu membawa kepada rampasan barangan seludup bernilai RM3.3 juta.

“Langkah ketat mengekang aktiviti rentas sempadan diteruskan dan sepanjang bulan lalu sahaja, seramai 71 PATI dan tekong darat ditahan manakala barang seludup bernilai RM249,701 dirampas.

“TDM khususnya 1 Divisyen Infantri terus memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan, bukan sahaja bagi mengekang aktiviti rentas sempadan tetapi juga membendung penularan COVID-19 yang dikhuatiri disebarkan oleh PATI,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau sekatan jalan raya sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijalankan bersama anggota TDM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Kampung Suba Buan, Bau berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia, hari ini.

Yang turut hadir, Panglima 3 Briged Infantri Malaysia, Brig Jen Datuk Azhar Ahmad.

-Advertisement-

Dzulkafli berkata, bagi pelaksanaan sekatan jalan raya, seramai 131 anggota TDM bertugas di 16 lokasi seluruh Sarawak iaitu tiga lokasi di Kuching, lapan di Sibu, tiga di Miri dan dua di Bintulu.

“Seramai 107 anggota lagi ditugaskan bersama PDRM melaksanakan rondaan berkenderaan di 17 lokasi.

“Seramai 67 anggota terbabit sebagai Tim Pemantauan Pematuhan di 11 lokasi, selain membantu mengawal rumah panjang ketika pelaksanaan pengesanan kes aktif (ACD) oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bermula 21 Januari lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata seramai 111 anggota ditugaskan di 19 rumah panjang di Sri Aman, Serian, Sebauh dan Bintulu bagi memantau pematuhan PKPB.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373