PUTRAJAYA 12 Mei 2026 (The Capital Post) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperhebat pendekatan penguatkuasaan pintar atau smart enforcement menerusi operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam usaha membanteras penyeludupan serta ketirisan barang kawalan di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata KDN akan terus memperkukuh pelaksanaan penguatkuasaan pintar secara bersepadu dan konsisten bagi memastikan keselamatan negara, kestabilan bekalan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Menurut beliau, sepanjang tempoh 12 April hingga 10 Mei 2026, operasi penguatkuasaan bersepadu KDN berjaya merekodkan nilai rampasan kumulatif sebanyak RM25.16 juta melibatkan diesel, petrol, gas petroleum cecair (LPG) serta pelbagai barangan kawalan lain.
Operasi berkenaan turut menyaksikan sebanyak 623 tangkapan dilakukan hasil tindakan penguatkuasaan melibatkan agensi-agensi di bawah KDN termasuk PDRM, APMM dan JIM.
-Advertisement-
Bagi statistik harian pada 10 Mei lalu, nilai rampasan yang direkodkan menerusi Ops Tiris dan operasi penguatkuasaan rentas sempadan di beberapa lokasi panas mencecah RM145,125.50.
KDN menegaskan usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan akan terus diperkasa bagi memastikan kepentingan negara serta bekalan keperluan rakyat sentiasa terjamin. – The Capital Post