KUALA LUMPUR, 5 Mei 2026 (The Capital Post) – Kerajaan MADANI terus mempergiat usaha menangani kesan kenaikan kos sara hidup dan cabaran ekonomi semasa menerusi beberapa langkah segera yang diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dalam siaran langsung berkaitan krisis bekalan global di Facebook.
Antara fokus utama yang disentuh ialah isu kemarau yang memberi kesan besar kepada sektor pertanian, khususnya pesawah padi di seluruh negara. Menurut beliau, kerajaan telah mengarahkan operasi pembenihan awan dipertingkatkan dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi membantu kawasan yang terjejas akibat kekurangan hujan.
Dalam masa sama, kerajaan turut mengambil maklum keluhan pesawah yang berdepan peningkatan kos operasi terutama melibatkan penggunaan diesel. Susulan itu, bantuan khas insentif pembajakan telah dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar seperti diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, pada 14 April lalu.
Bagi memastikan pesawah dapat meneruskan aktiviti penanaman tanpa kelewatan, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara turut bersetuju menyalurkan wang pendahuluan sebanyak RM200 sehektar kepada pesawah padi berdaftar. Langkah itu bertujuan menyediakan modal segera untuk menyewa mesin bajak serta menjalankan kerja penanaman.
Kerajaan menjangkakan implikasi kewangan bagi inisiatif tersebut mencecah RM48 juta dan bakal memberi manfaat kepada kira-kira 240,000 pesawah padi di seluruh negara.
Selain sektor pertanian, kerajaan juga memberi perhatian kepada kebajikan peniaga kecil yang terkesan akibat peningkatan kos operasi dan sewaan premis.
Sebagai langkah awal, beberapa agensi kerajaan termasuk Majlis Amanah Rakyat dan UDA Holdings Berhad akan mengurangkan kadar sewa premis perniagaan bermula bulan ini, selaras dengan tindakan yang telah dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebelum ini.
-Advertisement-
Perdana Menteri turut menyeru semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kerajaan negeri supaya mengambil langkah sama dengan menurunkan kadar sewa premis, khususnya melibatkan peniaga kecil, penjaja serta pengusaha kedai makanan dalam tempoh segera.
Dalam pada itu, Program Jualan Rahmah MADANI akan terus diperluaskan sebagai antara mekanisme utama membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.
Menurut Perdana Menteri, program tersebut berjaya menawarkan harga barang sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran. Tahun lalu sahaja, lebih 25,000 program dilaksanakan di seluruh negara dan jumlah itu akan ditingkatkan kepada 30,000 program sepanjang tahun 2026.
Pelaksanaan program berkenaan juga akan diperluaskan ke kawasan luar bandar dan kampung dengan penglibatan lebih ramai peniaga kecil, bukan hanya syarikat besar, supaya manfaatnya dapat dirasai secara lebih menyeluruh oleh masyarakat setempat.
Beliau menegaskan bahawa semua langkah yang diumumkan mungkin tidak dapat menyelesaikan keseluruhan masalah ekonomi semasa, namun ia merupakan usaha berterusan kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat.
Kerajaan, katanya, akan terus menilai keadaan semasa dan membincangkan langkah tambahan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan setiap minggu. – The Capital Post