Kerajaan Perkasa Agenda STI Negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 11 Mei 2026 (The Capital Post) – Kerajaan terus mempergiat usaha memperkukuh pembangunan sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai pemacu utama dalam mendepani cabaran ekonomi global serta ketidaktentuan rantaian ekonomi antarabangsa.

Penekanan tersebut diberikan dalam Mesyuarat Majlis Sains Negara (MSN) Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini.

Menurut beliau, setiap perancangan dan pelaksanaan berkaitan STI perlu digerakkan secara lebih strategik dan berkesan bagi memastikan Malaysia mampu berdepan cabaran kewangan global termasuk isu keselamatan tenaga susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.

Kerajaan turut memberi fokus kepada pelaksanaan inisiatif berasaskan misi yang diyakini dapat mengoptimumkan penggunaan sumber, merangsang pertumbuhan ekonomi mampan serta mempercepat pembangunan teknologi bernilai tinggi.

-Advertisement-

Dalam usaha memperkukuh ekosistem STI negara, pendekatan yang lebih menyeluruh turut diambil melalui kerjasama strategik melibatkan Kerajaan MADANI, sektor swasta dan institusi penyelidikan serta pembangunan (R&D).

Menurut Perdana Menteri, sinergi antara semua pihak amat penting bagi memastikan hasil penyelidikan dan inovasi dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata yang memberi impak langsung kepada rakyat serta pembangunan negara.

Beliau turut menegaskan bahawa pengukuhan agenda STI akan terus menjadi antara keutamaan kerajaan dalam membina daya tahan ekonomi negara serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global. – The Capital Post