PUTRAJAYA 17 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang memperincikan kerangka gaji pokok permulaan sebanyak RM2,500 bagi graduan dan pekerja separuh mahir bagi memastikan kadar upah lebih sepadan dengan kelayakan serta kemahiran tenaga kerja, selaras dengan pengumuman Belanjawan MADANI 2027.
Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, memaklumkan perkara itu dalam sidang media berkaitan Garis Panduan Gaji Pokok Permulaan berasaskan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) yang berlangsung di Menara PERKESO, Putrajaya pada 16 Oktober.
Menurut beliau, pelaksanaan awal bagi graduan akan menggunakan garis panduan yang merangkumi kategori MASCO 1 hingga 3, manakala pekerjaan separuh mahir akan diselaraskan melalui panduan gaji berasaskan kemahiran bagi memperluas liputan sehingga kategori MASCO 8.
Garis panduan berkenaan disasarkan untuk diterbitkan pada Jun 2027. Kadar gaji akan dikemas kini berdasarkan data pasaran buruh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melalui portal e-MASCO bagi memastikan penetapan gaji kekal relevan dengan keadaan semasa.
KESUMA turut merancang untuk meminda Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) bagi membolehkan pelaksanaan gaji minimum khusus untuk graduan diwajibkan pada masa hadapan. Buat masa ini, pendekatan awal akan dilaksanakan menerusi garis panduan.
-Advertisement-
Dalam perkembangan berkaitan, kadar gaji minimum RM2,000 sebulan diumumkan untuk berkuat kuasa mulai Jun 2027, dengan jangkaan memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja. Bagaimanapun, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mempunyai hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan seperti yang dinyatakan dalam pengumuman tersebut.
Selain itu, KESUMA sedang memperincikan modul e-wages bagi memperkukuh pemantauan pembayaran gaji serta meningkatkan pematuhan majikan terhadap undang-undang perburuhan.
Usaha ini merupakan sebahagian daripada langkah kementerian untuk memperkukuh kerangka penggajian negara, mengiktiraf kemahiran tenaga kerja dan memastikan pelaksanaan dasar upah lebih tersusun serta selaras dengan keperluan pasaran buruh – The Capital Post