Keuntungan bersih TNB turun kepada RM653.30 juta pada suku kedua 2020

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 28 Ogos -Keuntungan bersih Tenaga Nasional Bhd turun kepada RM653.30 juta dalam suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2020, daripada RM1.11 bilion yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

-Advertisement-

Syarikat utiliti nasional itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata hasil turun kepada RM10.89 bilion berbanding RM12.87 bilion sebelumnya, disebabkan terutamanya penurunan jualan elektrik.

Pendapatan asas sesaham turun kepada 11.48 sen berbanding 19.63 sen sebelumnya.

“Ekonomi Malaysia mencatatkan penguncupan 17.1 peratus dalam suku kedua 2020 disebabkan langkah-langkah ketat bagi membendung penularan pandemik COVID-19 yang termasuk pelbagai langkah mengehadkan aktiviti pengeluaran dan penggunaan.

“Bagaimanapun, ekonomi Malaysia dijangka pulih perlahan-lahan pada separuh kedua 2020 apabila ekonomi mula dibuka semula dan permintaan luaran kembali meningkat. Prospek ini disokong oleh peningkatan semula petunjuk utama seperti borong dan perdagangan runcit, pengeluaran perindustrian, eksport kasar dan penjanaan elektrik,” kata TNB.

-Advertisement-

Syarikat itu berkata di tengah-tengah persekitaran yang mencabar, ia menjangkakan prospek pemulihan perlahan-lahan prestasi kumpulan bagi suku berbaki tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2020, susulan momentum aktiviti perniagaan yang bertambah baik disokong oleh pelancaran pakej rangsangan kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Kumpulan itu mengambil langkah-langkah berhemat dari segi keperluan operasi dan kewangannya bagi memastikan ia kekal kukuh.

Pada rehat tengah hari, saham TNB susut dua sen kepada RM11.10 dengan 1.57 juta saham diniagakan.

-BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373