KKDW Galak Gaya Hidup Aktif, Terima RM12.68 Bilion

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 11 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menggalakkan warga kementerian mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat menerusi aktiviti fizikal secara konsisten, termasuk sasaran berjalan sebanyak 10,000 langkah sehari.

Seruan itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha KKDW, YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, ketika menyempurnakan sambutan Hari Sukan Negara KKDW 2026 di Dewan Seri Lestari, kementerian tersebut, hari ini.

Sambutan bertemakan “Sukan dan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI)” itu turut mengetengahkan penggunaan teknologi dalam aktiviti sukan serta menggalakkan semangat berpasukan dalam kalangan warga kementerian. Perancangan untuk menganjurkan pertandingan War Cry pada tahun hadapan turut dikongsikan sebagai antara usaha memeriahkan aktiviti sukan kementerian.

Dalam perkembangan berkaitan, Suriani memaklumkan bahawa KKDW menerima peruntukan sebanyak RM12.68 bilion menerusi Belanjawan 2027, meningkat 2.27 peratus berbanding peruntukan sebelumnya.

-Advertisement-

Peruntukan tersebut bertujuan menyokong pelaksanaan agenda pembangunan luar bandar yang lebih inklusif, di samping memperkukuh usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat desa.

Sambutan ini turut menjadi platform untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan kecergasan, mengeratkan hubungan sesama warga kementerian dan membudayakan amalan hidup sihat dalam kehidupan seharian – The Capital Post