KKM Lulus RM2.5 Juta untuk Penambahbaikan HTAR

Estimate Reading Time: 2 minutes

KLANG, 18 November 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 juta kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi meningkatkan aspek keselamatan, kapasiti kemudahan serta kelancaran aliran pesakit di hospital berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, peruntukan itu merangkumi beberapa projek fizikal, perolehan peralatan perubatan serta kelengkapan bukan perubatan bagi memperkukuh mutu perkhidmatan hospital.

Beliau berkata, sebanyak RM1.59 juta diperuntukkan bagi projek fizikal, termasuk RM750,000 untuk menaik taraf sistem pengurusan giliran (QMS) di Kompleks Rawatan Harian (ACC), RM350,000 bagi pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di Kompleks Rawatan Ibu dan Bayi (KRIBA), serta RM485,000 untuk kerja berkaitan auditorium dan bilik mesyuarat.

Selain itu, perolehan peralatan perubatan berjumlah RM750,000 melibatkan pembelian kamera dan Video Endoscope untuk Dewan Bedah bernilai RM605,000, tiga unit Defibrillator berjumlah RM90,000 serta satu unit Diathermy bernilai RM55,000.

Bagi kelengkapan bukan perubatan pula, sebanyak RM160,000 diperuntukkan untuk pembelian 250 unit Cardiac Table bagi wad Bangunan Utama bernilai RM100,000 dan 50 kerusi berangkai di ruang menunggu klinik serta lobi berjumlah RM60,000.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke HTAR hari ini yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Kesihatan Digital KKM, Dr Nor Hayati Ibrahim; Timbalan Pengarah Kesihatan Selangor, Dr Md Razis Ramli; dan Pengarah HTAR, Dr Muhammad Yusof Sibert.

Mengulas perkembangan projek penambahbaikan yang diumumkan pada tahun lalu, Dzulkefly berkata pelaksanaan kerja menaik taraf infrastruktur serta perolehan aset perubatan dan bukan perubatan berjalan lancar.

-Advertisement-

Menurutnya, kemudahan lif di KRIBA kini dalam proses penggantian, manakala kerja menaik taraf sistem penyaman udara turut dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan pesakit dan petugas hospital.

Berhubung isu kekurangan tempat letak kereta, beliau berkata HTAR kini mempunyai 2,100 lot parkir dan bakal menambah 72 lot parkir mekanikal yang telah mencapai kira-kira 90 peratus kemajuan.

Penambahan itu bertujuan memaksimumkan penggunaan tanah serta ruang sedia ada di kawasan hospital.

Dzulkefly berkata lawatan kerja berkenaan diadakan bagi meninjau secara langsung operasi fasiliti, penyampaian perkhidmatan dan perkembangan projek naik taraf yang sedang dilaksanakan.

Lawatan itu juga diadakan tepat setahun selepas beliau melakukan tinjauan mengejut ke HTAR pada 18 November tahun lalu. – The Capital Post