KKM Terima RM47.70 Bilion Dalam Belanjawan 2027

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 13 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima peruntukan sebanyak RM47.70 bilion menerusi Belanjawan 2027, meningkat RM1.18 bilion berbanding tahun sebelumnya bagi memperkukuh sistem kesihatan negara, termasuk aspek tenaga kerja, kemudahan rawatan dan perlindungan kewangan rakyat.

Perkara itu dibincangkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, ketika ditemu bual BERNAMA menerusi rancangan Ruang Bicara bertajuk “Belanjawan 2027: Memperkasa Ekosistem Kesihatan Negara”.

Menurut beliau, KKM akan memberi tumpuan kepada lima bidang utama, merangkumi usaha menangani isu doktor kontrak, mempercepat akses kepada rawatan, memperluas pendigitalan perkhidmatan kesihatan, memperkukuh bantuan kepada golongan rentan serta meningkatkan kebajikan petugas kesihatan.

Antara inisiatif yang diketengahkan ialah penawaran jawatan tetap kepada lebih 9,000 doktor kontrak pada 2027, peningkatan peruntukan Tabung Bantuan Perubatan kepada RM60 juta dan peluasan Program Pembelian Perkhidmatan daripada Swasta (HSOP) dengan peruntukan RM200 juta.

-Advertisement-

Selain itu, sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) secara menyeluruh, sebagai sebahagian daripada usaha mempercepat transformasi digital dalam sistem kesihatan negara.

KKM turut memberi perhatian kepada langkah pencegahan penyakit dan peluasan perlindungan kewangan supaya rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih mudah diakses serta berkualiti, di samping mengurangkan tekanan terhadap fasiliti hospital.

Berteraskan prinsip “Back to Basics”, kementerian komited melaksanakan reformasi kesihatan yang inklusif dan mampan melalui agenda rawatan lebih cepat, fasiliti lebih baik serta kebajikan dan maruah petugas kesihatan yang terus dipelihara demi kesejahteraan rakyat Malaysia MADANI – The Capital Post