Kompaun RM10,000 berkait kesalahan Covid-19 tidak setimpal, kata penganalisis

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi berkata, langkah menaikkan had kompaun di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) daripada RM1,000 kepada RM10,000, tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan.

-Advertisement-

Ketua pegawai eksekutif Center for Market Education Sdn Bhd, Carmelo Ferlito berkata, kenaikan mendadak itu akan memberi kesan kepada individu, terutama golongan miskin yang sudah pun terkesan teruk sejak awal penularan pandemik Covid-19.

“Saya tertanya-tanya adakah tindakan itu berkadaran dengan kesalahan dilakukan.

“Dalam pelaksanaan undang-undang, kita harus memastikan bahawa hukuman yang dikenakan setimpal dengan kesalahan tersebut,” katanya kepada FMT.

Kementerian Kesihatan (KKM) semalam mencadangkan kepada kerajaan supaya menaikkan denda bagi kesalahan kompaun di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dari kadar semasa RM1,000 kepada RM10,000.

Ketua Pengarah Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka pindaan itu telah dikemukakan kepada Parlimen baru-baru ini dan perlu mengambil sedikit masa untuk diluluskan.

Carmelo berkata, nisbah individu dihukum sejak awal Covid-19 kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah antara 10 hingga 20 kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah kumulatif kes Covid-19.

“Adakah kita bertindak di luar keadilan atau didorong oleh asas hukuman dengan tujuan memberi pengajaran?

“Nampaknya terdapat pelbagai sentimen dimainkan di sini,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan pendirian kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19 ketika ini.

“Apakah yang ingin kita capai di sini? Adakah kita pasti dengan ‘memberi pengajaran’ (hukuman) kepada pesalah PKP adalah keutamaan di Malaysia?,” soalnya dengan memberi contoh virus itu menjangkiti 5 daripada 1 juta penduduk dan membunuh 0.00039% daripada jumlah populasi di negara ini.

Berkenaan cadangan KKM supaya kawalan sempadan terus dipertingkatkan bagi mengekang kemasukan individu berpotensi dijangkiti Covid-19 ke dalam negara ini, Carmelo berkata, pada dasarnya masyarakat perlu dijelaskan bahawa menutup sempadan bukanlah penentu dalam menyekat penularan virus.

-Advertisement-

Malah lebih memburukkan lagi apabila tindakan mengetatkan kawalan atau menutup sempadan akan memberi kesan besar kepada ekonomi setempat kedua-dua negara.

“Menutup sempadan sangat mempengaruhi industri pelancongan, makanan dan minuman, dengan ratusan ribu orang kehilangan pekerjaan.

“Di Thailand, hampir 3 juta orang diberhentikan kerja dalam industri ini sahaja.

“Kita harus menjaga ekosistem pelancongan ini seperti mana kita menjaga pesakit Covid-19,” tegasnya.

Beliau berkata, keadaan di Malaysia dilihat terkawal dengan jumlahnya konsisten tidak melebihi 100 kes setiap hari berbanding negara lain.

“Walaupun di Eropah jumlah kes meningkat, jumlah kematian tetap stabil dan berada pada tahap rendah, ini bermaksud virus itu kurang agresif atau kita mendapat protokol perubatan lebih baik atau kedua-duanya.

“Semua tahu risiko virus ini tidak boleh turun sehingga kosong, dan isunya adalah mengambil risiko yang perlu untuk mengelakkan ekonomi lebih teruk terjejas,” katanya.

Mengulas lanjut, Carmelo berkata, strategi Asean memainkan peranan penting sebagai pengantara bagi menangani wabak Covid-19.

“Kita memerlukan lebih banyak koordinasi dan politik harus memainkan peranan utama sebagai penghubung pihak berkepentingan.

“Berbanding strategi pembukaan perjalanan kepada negara zon hijau yang rumit, adalah lebih baik kerajaan melaksanakan protokol mudah seperti melakukan ujian saringan sebelum masuk ke Malaysia dan di balai ketibaan serta bukti insurans perubatan bagi mengawal penularan Covid-19 masuk ke negara ini,” katanya. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373