Kos Tersembunyi Asma Yang Tidak Terkawal Terhadap Keluarga

Estimate Reading Time: 3 minutes

Asma merupakan penyakit paru-paru kronik yang dicirikan oleh keradangan saluran pernafasan, penyempitan saluran udara dan tindak balas berlebihan terhadap rangsangan tertentu. Di Malaysia, lebih 1.4 juta orang dewasa dan hampir setengah juta kanak-kanak berusia antara enam hingga 17 tahun telah didiagnosis menghidap asma. Walaupun rawatan berkesan tersedia, kawalan asma masih tidak optimum dalam banyak kes. Kesan penyakit ini bukan sahaja melibatkan simptom klinikal, malah turut memberi tekanan emosi, psikologi dan kewangan yang besar kepada keluarga.

Ketidakpastian serangan asma menyebabkan ramai ahli keluarga hidup dalam keadaan tertekan. Bagi penjaga, khususnya ibu bapa kepada kanak-kanak yang menghidap asma, situasi ini sering mencetuskan kebimbangan berpanjangan. Simptom pada waktu malam pula boleh mengganggu tidur pesakit dan ahli keluarga, sekali gus menyebabkan keletihan, penurunan produktiviti dan kualiti hidup yang terjejas.

Kanak-kanak dengan asma yang tidak terkawal juga berisiko menghadapi cabaran sosial dan perkembangan diri. Kebimbangan untuk mencetuskan simptom boleh mengehadkan penglibatan mereka dalam aktiviti fizikal, manakala penggunaan inhaler atau simptom berulang boleh menyebabkan stigma dalam kalangan rakan sebaya. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menjejaskan keyakinan diri dan emosi mereka. Bagi orang dewasa pula, simptom berterusan dan batasan aktiviti harian boleh menyebabkan tekanan, keresahan dan kemurungan.

Kesan Lebih Besar Kepada Keluarga

Implikasi kewangan akibat asma yang tidak terkawal juga amat ketara. Kos perubatan langsung termasuk lawatan kerap ke klinik kesihatan, jabatan kecemasan dan kemasukan ke hospital.

Namun begitu, kos tidak langsung sering kali lebih besar tetapi kurang disedari. Antaranya termasuk kos pengangkutan, pembelian ubat secara sendiri dan kehilangan pendapatan akibat ketidakhadiran bekerja. Kanak-kanak yang mengalami asma tidak terkawal juga lebih kerap ponteng sekolah dan menghadapi penurunan prestasi akademik akibat gangguan tidur serta kesukaran memberi tumpuan. Golongan dewasa pula mungkin terus bekerja tetapi dengan tahap produktiviti yang lebih rendah, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi secara keseluruhan.

Selain itu, asma yang tidak dikawal dengan baik turut membawa risiko kesihatan jangka panjang. Keradangan berterusan boleh menyebabkan perubahan struktur pada saluran pernafasan dan penurunan fungsi paru-paru yang tidak boleh dipulihkan. Serangan asma yang teruk juga meningkatkan risiko serangan berulang dan kematian.

Penggunaan kortikosteroid oral secara berulang yang sering diperlukan dalam kes asma tidak terkawal pula boleh menyebabkan komplikasi seperti osteoporosis, gangguan hormon adrenal, peningkatan berat badan dan masalah metabolik.

Jurang Diagnosis dan Jalan Ke Arah Kawalan Lebih Baik

-Advertisement-

Satu isu penting tetapi kurang diberi perhatian ialah ketidaktepatan diagnosis. Kajian menunjukkan antara 20 hingga 70 peratus kes asma sebenar masih tidak didiagnosis, khususnya di fasiliti penjagaan primer dan kawasan berpendapatan rendah yang mempunyai akses terhad kepada spirometri, iaitu ujian fungsi paru-paru.

Pada masa sama, sehingga satu pertiga individu yang didiagnosis dengan asma sebenarnya mungkin tidak menghidap penyakit itu apabila dinilai semula secara objektif. Diagnosis yang lewat atau tidak tepat boleh menyebabkan simptom berpanjangan, rawatan tidak sesuai dan peningkatan penggunaan perkhidmatan kesihatan.

Justeru, diagnosis awal dan tepat menggunakan alat seperti spirometri amat penting dalam memastikan rawatan yang berkesan.

Pengurusan asma yang baik bergantung kepada pematuhan terhadap rawatan penyelenggaraan, khususnya penggunaan kortikosteroid sedutan (ICS) yang terbukti dapat mengurangkan serangan asma, kemasukan ke hospital dan risiko kematian. Namun, tahap pematuhan masih rendah disebabkan salah faham mengenai kesan sampingan, kurang pemahaman tentang penyakit serta penggunaan inhaler yang tidak betul.

Dalam hal ini, pendidikan pesakit dan sokongan sistem kesihatan memainkan peranan penting. Pelan tindakan asma bertulis, latihan penggunaan inhaler yang betul dan kesedaran mengenai faktor pencetus terbukti dapat meningkatkan kawalan penyakit dan mengurangkan lawatan kecemasan.

Di Malaysia, klinik kesihatan memainkan peranan utama dalam pemantauan berterusan dan pendidikan pesakit. Program berasaskan sekolah juga boleh membantu guru mengenal pasti dan bertindak terhadap simptom asma, sekali gus mengurangkan risiko ketika waktu persekolahan.

Selain itu, ahli farmasi dan petugas kesihatan komuniti boleh membantu meningkatkan pematuhan rawatan menerusi sesi kaunseling dan pemantauan berkala. Pada peringkat masyarakat pula, usaha berhenti merokok dan penambahbaikan kualiti udara amat penting kerana asap rokok dan pencemaran udara masih menjadi pencetus utama asma di Malaysia.

Bukti daripada kajian serantau menunjukkan pendekatan menyeluruh seperti ini mampu meningkatkan kawalan asma serta mengurangkan penggunaan perkhidmatan kesihatan.

Dengan diagnosis awal yang tepat, pematuhan konsisten terhadap rawatan berasaskan bukti serta sokongan komuniti dan sistem kesihatan yang lebih kukuh, asma sebenarnya boleh dikawal dengan berkesan. Apabila diurus dengan baik, penyakit ini tidak seharusnya mengehadkan kualiti hidup pesakit mahupun keluarga mereka.

Ditulis oleh Dr Sulaimann Tint Soe Lwin ialah Pensyarah Kanan di School of Medicine, Faculty of Health and Medical Sciences, Taylor’s University.

Pandangan yang dikemukakan adalah milik penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian The Capital Post.