PUTRAJAYA 10 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) Tingkatan Satu bagi sesi 2026 perlu mengambil kira keadaan jerebu semasa dengan mengutamakan keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan.
PKSK yang dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 22 Oktober ini tertakluk kepada arahan dan ketetapan Pengarah Pendidikan Negeri masing-masing berdasarkan tahap keselamatan di kawasan terlibat.
Menurut KPM, pusat pentaksiran boleh beroperasi seperti biasa sekiranya guru yang bertugas hadir di sekolah, dengan syarat pelaksanaannya mematuhi arahan keselamatan yang sedang berkuat kuasa.
Calon juga dibenarkan hadir mengikut tarikh dan sesi yang telah ditetapkan sekiranya pelaksanaan pentaksiran mendapat kebenaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
-Advertisement-
Bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga yang memilih untuk tidak menghantar anak mereka ke pusat pentaksiran atas faktor keselamatan dan kesihatan akibat jerebu boleh memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkenaan untuk urusan penjadualan semula.
KPM turut mengarahkan pusat PKSK supaya memastikan sebarang perubahan jadual dimaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga yang terlibat bagi menjamin setiap calon berpeluang menduduki pentaksiran tersebut.
KPM menegaskan bahawa kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan pelaksanaan PKSK berjalan lancar dengan mematuhi arahan semasa JPN serta mengutamakan kesejahteraan murid dan warga pendidikan – The Capital Post