KUALA LUMPUR 21 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempergiat usaha membendung gejala buli dalam institusi pendidikan menerusi Program Penataran Literasi Akta Antibuli 2026 [Akta 876] yang berlangsung di Dewan Aminuddin Baki, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, pada 20 Oktober lalu.
Program tersebut dihadiri Menteri Pendidikan, YB Datuk Seri Fadhlina Sidek, bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pengetahuan bakal guru mengenai aspek perundangan berkaitan isu buli.
Dianjurkan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), program ini memberi penekanan kepada pemahaman peruntukan undang-undang berkaitan buli, prosedur pelaporan serta pendekatan pencegahan dan intervensi yang bersesuaian.
Pendedahan tersebut bertujuan melengkapkan bakal pendidik dengan pengetahuan dan kefahaman yang diperlukan untuk mengenal pasti, melaporkan serta menangani insiden buli secara bertanggungjawab, sekali gus membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, harmoni dan kondusif untuk semua murid.
-Advertisement-
Inisiatif ini turut memperlihatkan komitmen KPM dalam membentuk bakal guru yang berintegriti, berempati dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap kebajikan serta keselamatan murid. Peranan pendidik bukan sahaja tertumpu kepada penyampaian ilmu, malah merangkumi usaha membina nilai murni dan memastikan kesejahteraan warga sekolah.
Pelaksanaan program ini juga selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang menekankan kepentingan persekitaran pendidikan yang berkualiti dan selamat. Usaha berterusan melalui pendidikan, kesedaran undang-undang dan kerjasama antara agensi diharap dapat memperkukuh budaya antibuli dalam sistem pendidikan negara.
Menerusi semangat “Tahun Ini, Tahun Kita” dan tema “Guru Bitara Nadi Negara”, KPM terus menegaskan kepentingan melahirkan pendidik berkualiti yang mampu membimbing generasi muda serta menyumbang kepada pembentukan persekitaran pendidikan yang bebas daripada buli. – The Capital Post