KUANTAN 11 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempergiat usaha memperluas akses pendidikan tinggi kepada atlet muda negara menerusi Program Kembara Bersasar KPT 2026 yang berlangsung di Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) pada 10 Oktober.
Bertemakan “Arena Sukan, Destinasi Akademik”, program itu bertujuan membawa maklumat dan perkhidmatan pendidikan tinggi secara langsung kepada pelajar sekolah khusus, terutama berkaitan peluang melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).
Inisiatif berkenaan turut membantu atlet pelajar merancang masa depan secara seimbang dengan memberi penekanan terhadap pembangunan kerjaya sukan berprestasi tinggi dan pencapaian akademik.
Pelbagai aktiviti disediakan bagi memenuhi keperluan pelajar, termasuk pameran pendidikan tinggi, taklimat mengenai hala tuju akademik serta sesi konsultasi kemasukan ke IPTA bersama wakil agensi berkaitan. Pengisian tersebut memberi peluang kepada atlet muda mendapatkan maklumat secara terus bagi merancang laluan pendidikan selepas tamat persekolahan.
-Advertisement-
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Prof. Dr. Zainal Amin Ayub; serta Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Penyelidikan) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Ts. Dr. Kamal Yusoh.
Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen KPT dalam membangunkan potensi atlet pelajar secara menyeluruh, sekali gus membuka lebih banyak ruang untuk mereka meneruskan pengajian tinggi tanpa mengabaikan aspirasi dalam bidang sukan – The Capital Post