SEPANG 2 Julai 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), YBhg. Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman mengadakan lawatan kerja ke Pos Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Tinjau di sini bagi menilai tahap kesiapsiagaan pasukan serta meninjau kemudahan yang telah dinaik taraf demi meningkatkan kebajikan anggota.
Beliau diiringi Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA), YDH DCP Dato Mohamad Suzrin bin Mohd Rodhi, dalam lawatan yang turut memberi tumpuan kepada taklimat berkaitan peranan dan penugasan anggota PGA dalam memastikan keselamatan kawasan operasi sentiasa berada pada tahap terbaik.
Selain mendengar perkembangan operasi, lawatan tersebut turut menyaksikan pemeriksaan terhadap kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan yang telah disiapkan menerusi peruntukan Projek Pembaikan dan Penyelenggaraan Kuarters serta Balai Polis Seluruh Negara bagi tahun 2025.
-Advertisement-
Usaha menaik taraf kemudahan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh aspek kebajikan warga pasukan keselamatan, di samping memastikan infrastruktur yang kondusif tersedia bagi menyokong pelaksanaan tugas menjaga keamanan serta keselamatan negara.
Turut menyertai lawatan berkenaan ialah Setiausaha Bahagian Pembangunan KDN, Ahmad Fuad Apandi bersama pegawai-pegawai kanan kementerian. – The Capital Post