KUSKOP Sasar RM15 Bilion Pembiayaan Usahawan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 2 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh agenda pembangunan keusahawanan negara menerusi inisiatif PowerUp10K yang menyasarkan pembiayaan sehingga RM15 bilion sepanjang tahun 2026 bagi membantu sekurang-kurangnya 10,000 usahawan mengembangkan perniagaan dan meningkatkan daya tahan mereka.

Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, lebih RM5 bilion pembiayaan telah diluluskan, sekali gus memberi manfaat kepada hampir 180,000 usahawan di seluruh negara sebagai usaha memperkukuh ekosistem perusahaan, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

-Advertisement-

Dalam masa sama, usahawan Bumiputera turut menerima sokongan signifikan apabila pembiayaan berjumlah RM1.407 bilion diluluskan kepada 53,033 usahawan. Daripada jumlah itu, seramai 11,469 belia Bumiputera memperoleh pembiayaan bernilai RM251.05 juta bagi memperkasa penglibatan golongan muda dalam sektor keusahawanan.

KUSKOP memaklumkan pelaksanaan inisiatif tersebut digerakkan selaras dengan aspirasi #HebatkanPerniagaanMalaysia menerusi strategi ABCD yang memberi fokus kepada peningkatan produktiviti, pengurangan birokrasi, pengukuhan akses kepada modal serta perluasan capaian pasaran bagi memastikan usahawan tempatan kekal berdaya saing dan mampan. – The Capital Post