Lahir pemimpin mahasiswa unggul, bukan pejuang politik sempit

Estimate Reading Time: 3 minutes

KELULUSAN Rang Undang-Undang (RUU) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 (AUKU) kali kedua dan ketiga membabitkan enam perkara oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Dewan Rakyat kelmarin mendapat sokongan sebulat suara oleh Ahli Parlimen.

-Advertisement-

Pindaan ini signifikan kerana memperkukuhkan kepemimpinan mahasiswa ke arah memetakan martabat pendidikan tinggi negara selaras dengan tuntutan Malaysia MADANI.

Naratif ini juga memastikan agenda pemerkasaan mahasiswa dilaksanakan lebih menyeluruh, terutama berkaitan autonomi pengurusan kewangan majlis perwakilan pelajar (MPP) atau kesatuan mahasiswa.

Pindaan kali kelapan ini bakal memberikan kebebasan lebih besar buat badan mahasiswa dalam kebenaran memungut wang dan menerima sumbangan, pertukaran pihak berkuasa tatatertib pelajar universiti, tempoh pemilihan MPP berdasarkan kalendar akademik dan MPP dibenarkan menyelenggara kumpulan wang (akaun).

Kita yakin RUU ini menjalin konsolidasi mahasiswa untuk lebih bebas bersuara, bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara, meningkatkan kematangan dalam memahami akauntabiliti dan penghakupayaan.

Peluang diberi kepada mahasiswa ini mencungkil potensi mereka untuk belajar pengurusan lebih baik dan membajai benih integriti dalam diri hingga ke alam pekerjaan atau keusahawanan kelak.

Setiap cabaran ditempuhi mahasiswa meningkatkan nilai tambah mereka sebagai mahasiswa holistik sejak di bangku universiti.

Kepercayaan dan dorongan perlu diberikan kepada mahasiswa untuk mengurus prosedur kewangan dengan tunjuk ajar berkala daripada pegawai kewangan dan pegawai pentadbir universiti.

Justeru, tidak timbul isu penyalahgunaan kuasa dan wang kerana pengurusan kewangan pelajar akan diaudit badan bebas akan dilantik.

Autonomi atau kepercayaan diberikan ini akan mendidik pelajar dengan nilai tanggungjawab, akauntabiliti dan pengurusan organisasi dengan lebih cekap, berkesan dan matang.

Secara prinsipnya, AUKU masih relevan dan tidak sesuai dimansuhkan masa terdekat kerana mengganggu peruntukan akta berkenaan mengenai penubuhan dan tadbir urus sesebuah universiti.

Justeru, kita setuju kementerian menambah baik akta berkaitan pelajar dan pemerkasaan mahasiswa dari semasa ke semasa. Namun, wacana awam dan mahasiswa amat diperlukan dalam proses penambahbaikan ini.

Kebebasan berpolitik

Sebenarnya pindaan AUKU dari 2012 hingga 2019 terbukti memberi kebebasan penuh kepada mahasiswa untuk berpolitik di dalam dan di luar kampus hingga tidak sewajarnya timbul sebarang tanggapan akta itu menyekat kebebasan pelajar hingga menjadi jumud dan pasif.

Autonomi pilihan raya kampus diuruskan sepenuhnya oleh mahasiswa bermakna tiada lagi tuduhan anarki kepada pentadbir hal ehwal pelajar universiti mencampuri urusan politik mahasiswa.

Bagaimanapun, sejauh manakah keberkesanan autonomi menguruskan pilihan raya kampus dari sudut sambutan mahasiswa menunaikan tanggungjawab mengundi?

-Advertisement-

Dalam tempoh beberapa bulan ini, kita menyaksikan hampir semua universiti awam berjaya melaksanakan pilihan raya kampus dengan berbaki Universiti Putra Malaysia menjalankannya hari ini, manakala Universiti Malaya pada masa terdekat.

Pilihan raya kampus ialah refleksi arah tuju ekosistem politik negara pada masa akan datang dan melatih kematangan mahasiswa memahami demokrasi untuk melantik perwakilan atau kesatuan mahasiswa.

Pembabitan pelajar memilih dan memimpin melalui pilihan raya kampus memperkukuhkan aspek demokratik dan menggilap bakat kepemimpinan masa depan mereka agar lebih bertanggungjawab.

Pilihan raya kampus mengasah kesedaran politik semakin meningkat dalam kalangan anak muda dan menjadi petanda baik pelaksanaan dan pewartaan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Antara mekanisme sokongan terhadap kelayakan Undi18 sebenarnya bermula daripada pilihan raya kampus kerana generasi muda pelapis arah tuju negara, menyokong proses demokrasi terutama menjelang pilihan raya umum seterusnya.

Menteri Pendidikan Tinggi sendiri menyatakan pembangunan insan pelajar dan mahasiswa bitara bukan sahaja dalam aspek kecemerlangan akademik tetapi membangunkan intelek manusiawi, penyelesai permasalahan dan inovator kreatif kepada isu masyarakat.

Maka kita yakin, mahasiswa yang peduli dengan proses sosialisasi politik sejak zaman universiti lebih terarah dengan sifat dan karakter unggul, berketerampilan, cekap, matang dan progresif, bukannya terjerit-jerit dengan politik sempit.

Kekhuatiran dengan Indeks Belia Malaysia mendapati sosialisasi politik dalam kalangan belia memang rendah, malah menurun setiap tahun, maka tanggungjawab MPP memastikan peratus mahasiswa keluar memilih pada pilihan raya kampus memerlukan strategi lebih ampuh.

Antara inisiatif perlu dilaksanakan ialah sesi libat urus bersama pemegang taruh pilihan raya kampus bagi mendapatkan maklum balas penambahbaikan agar pelajar lebih tertarik terhadap suasana politik kampus.

Badan pelajar seperti MPP atau kesatuan mahasiswa, persatuan mahasiswa fakulti dan majlis perwakilan kolej perlu mengadakan pertemuan santai serta kerap di kawasan tumpuan selepas pilihan raya kampus untuk menyuburkan proses sosialisasi politik.

Badan pelajar boleh menggunakan pelbagai pendekatan untuk mendekati rakyat pelajar melalui media sosial dan aktiviti mereka untuk mengelakkan promosi pilihan raya kampus dibuat pada tempoh yang hampir dengan pilihan raya.

Hubungan akrab juga perlu diperkukuhkan antara kesatuan, persatuan mahasiswa dan majlis perwakilan kolej kerana kelemahan komunikasi antara tiga badan pelajar ini mungkin berpunca kepada sindrom ‘abang kawasan’ yang menjuarai lokasi masing-masing.

Sebagai seorang berpengalaman dalam kepemimpinan mahasiswa ketika di universiti dan bekas pensyarah yang mempunyai kepakaran dalam pemikiran dan falsafah politik, Zambry dilihat mampu menerajui naratif memperkasakan mahasiswa negara agar disegani di peringkat antarabangsa berteraskan prinsip Malaysia MADANI.

Penulis adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Alumni) Universiti Putra Malaysia (UPM)
-BeritaHarian