Rampasan dadah terbesar RM14.15 juta, polis tahan dua lelaki

Estimate Reading Time: 2 minutes

KAJANG: Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah membabitkan rampasan dianggarkan RM14.15 juta dalam operasi di Bandar Mahkota Cheras di sini, kelmarin dan direkodkan sebagai rampasan dadah terbesar negara bagi tahun ini.

-Advertisement-

Rampasan dilakukan melalui operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Selangor yang melancarkan dua serbuan berasingan bermula jam 11 pagi hingga 12.10 tengah hari.

Menerusi serbuan pertama di sebuah tempat letak kenderaan di tingkat 2 sebuah kondominium, polis menahan dua lelaki tempatan bersama 62.7 kilogram (kg) dadah syabu dalam kereta dinaiki mereka.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin, berkata hasil soal siasat awal ke atas dua suspek berusia 33 dan 44 tahun itu, polis kemudian menyerbu sebuah unit kediaman di kondominium sama yang dijadikan stor dadah.

Beliau berkata, pemeriksaan di kondominium terbabit menemui pelbagai jenis dadah dengan anggaran berat keseluruhan 362.27 kg.

“Dadah yang dirampas terdiri daripada 332.4 kg syabu, serbuk methylenedioxy-methamphetamine atau MDMA (6.07 kg), pil erimin 5 (8.1 kg) dan pil ekstasi (15.7 kg) dianggarkan bernilai RM14.15 juta.

“Sindiket dipercayai mendapat bekalan dadah dari negara jiran sebelum memasarkannya di sekitar Lembah Klang selain dihantar ke negara jiran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Zainuddin Ahmad; Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

-Advertisement-

Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, siasatan mendapati sindiket ini dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lalu dan hasil risikan polis bermula Disember lalu, sindiket ini berjaya dibongkar.

“Kedua-dua suspek yang ditahan itu berperanan sebagai penjaga stor selain bertindak sebagai ‘runner’ (penghantar) dadah kepada pelanggan serta ‘transporter’ (pengangkut) dadah.

“Setiap kali berjaya membuat penghantaran, mereka mendapat komisyen antara RM2,000 hingga RM3,000,” katanya yang turut memaklumkan dadah yang dirampas boleh digunakan 1.8 juta penagih dadah.

Kok Chin berkata, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan semakan mendapati suspek yang berusia 33 tahun mempunyai empat rekod lampau kesalahan jenayah.

“Menerusi serbuan itu, kita turut menyita sebuah kereta jenis PERODUA Myvi mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dianggarkan bernilai RM38,000

“Buat masa ini kita masih mengesan dalang utama dan rangkaian sindiket dadah ini serta menyiasat punca bekalan dadah diperolehi,” katanya.

Mengenai dua suspek yang ditahan, Kok Chin berkata mereka kini direman enam hari bermula semalam hingga 25 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-BeritaHarian