LGM Perkukuh Urus Niaga Lateks Dengan RRIMETER

Estimate Reading Time: < 1 minute

GUA MUSANG 8 Oktober 2026 (The Capital Post) – Lembaga Getah Malaysia (LGM) menerusi kerjasama sekretariat Projek Insentif Pengeluaran Lateks (IPL), Unit Pemprosesan & Kelestarian (UPK) dan LGM Wilayah Timur mengadakan sesi penyerahan serta penerangan penggunaan RRIMETER di premis Nasir Merlong Trading, Kampung Orang Asli Kuala Betis, pada 6 Oktober lalu.

Sesi berkenaan dimulakan dengan kata alu-aluan Pengarah LGM Wilayah Timur, Dr. Zainuddin Roji dan Pengarah Negeri Kelantan dan Terengganu, Mohamad Faiz Bohan yang menekankan kepentingan penerapan teknologi serta penggunaan peralatan bersesuaian dalam memperkukuh pengurusan dan urus niaga lateks di peringkat lapangan.

Program diteruskan dengan penerangan dan demonstrasi penggunaan RRIMETER oleh Pegawai Teknikal UPK, Mohd Ikram Mohammad, termasuk kaedah pengendalian peralatan tersebut bagi mendapatkan bacaan Kandungan Getah Kering (KGK) atau Dry Rubber Content (DRC) yang lebih tepat dan konsisten.

Turut hadir pemilik Nasir Merlong Trading, Nasir Rosli, bersama pekebun kecil setempat yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran serta pemasaran lateks.

Menurut LGM, penggunaan RRIMETER merupakan antara usaha untuk meningkatkan ketelusan dan ketepatan dalam menentukan kandungan getah kering bagi urus niaga lateks. Bacaan yang lebih objektif dapat membantu pengusaha dan pekebun kecil dalam proses penentuan harga berdasarkan kualiti sebenar lateks yang dipasarkan.

-Advertisement-

Inisiatif tersebut turut mencerminkan komitmen LGM memperkasa pekebun kecil, khususnya masyarakat Orang Asli, menerusi penerapan teknologi dan amalan pengeluaran serta pemasaran yang lebih sistematik.

Penggunaan RRIMETER juga dijangka dapat meningkatkan keyakinan dalam urus niaga lateks serta menggalakkan pengeluaran lateks berkualiti, sekali gus menyokong peningkatan penghasilan dan bekalan lateks negara.

LGM akan terus memperkukuh sokongan teknikal, pemindahan teknologi dan khidmat pengembangan kepada pemain industri getah bagi memastikan sektor berkenaan kekal berdaya saing, mampan serta memberi manfaat kepada seluruh rantaian industri – The Capital Post