Lorekan berus pelukis mural terhenti, namun tidak bakat, idea untuk terus bertahan di ibu kota

Estimate Reading Time: 3 minutes

PETALING JAYA: Lorekan berus seorang pelukis mural sepenuh masa terhenti ketika pelangganya mengambil keputusan untuk menangguhkan atau menarik diri daripada mendapatkan kepakarannya, susulan langkah kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0.

-Advertisement-

Amirul Ariffi Hamzah, 26, berkata seperti mana dilalui pengusaha restoran dan pengusaha lain, sumber pendapatannya menyusut apabila tawaran kerja semakin berkurangan kerana pelanggan memilih untuk “ikat perut” buat seketika bagi menjaga kedudukan kewangan.

“Bila ada SOP dan ada PKP, secara tidak langsung pelanggan terkesan dan apabila mereka terkesan, ia memberi kesan kepada saya juga. Kerja melukis mural di restoran juga tidak ada, kerana restoran juga ketika ini tidak boleh “dine-in” jadi buat apa mereka hendak ada mural.

“Saya juga faham pendapatan pengusaha restoran tidak berapa baik ketika PKP ini. Tidak ada kanak-kanak yang datang ke kedai mereka, cuma yang datang pemandu e-hailing. Jadi buat apa mereka hendak cantikkan kedai buat masa ini,” katanya kepada FMT.

Rezeki Amirul tersekat seketika apabila PKP dilaksanakan dan peningkatan kes Covid-19.

Sebelum pandemik Covid-19 melanda negara, pengusaha restoran, sekolah, tadika, rumah milik persendirian dan syarikat besar sering mendapatkan khidmatnya, untuk melukis mural bagi mengindahkan kawasan persekitaran, mengikut corak dan citarasa pelanggan.

Harga dikenakan pula mengikut saiz dinding serta corak dan motif lukisan yang dihasilkan.

Amirul, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang pendidikan seni dan seni reka bertekad, bakatnya tidak seharusnya dibazirkan, begitu juga idea dan keringat mudanya.

Katanya, ketika PKP diperkenalkan kembali, lebih 10 pelanggannya menarik diri. Lalu dia cuba mencari rezeki di kampung halaman, iaitu Kedah serta menawarkan perkhidmatan dengan diskaun tetapi tidak membuahkan hasil.

“Yang tarik diri tu ramai, ada pelanggan yang sudah bayar deposit, tetapi disebabkan PKP, mereka memilih untuk menyimpan duit. Saya faham tidak ada lukisan mural, kedai makanan masih boleh beroperasi, tidak ada lukisan mural, rumah juga masih boleh diduduki,” katanya.

Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang pendidikan seni dan seni reka itu bertekad, bakatnya tidak seharusnya dibazirkan, begitu juga idea dan keringat mudanya.

-Advertisement-

Dia akur perit getir seorang pelukis mural. Baginya, setiap perkara yang berlaku adalah ketentuan Ilahi, namun apa yang membezakannya, bagaimana seseorang itu menghadapi dan bersedia dengan ujian.

Sebelum Covid-19 melanda negara, pengusaha restoran, sekolah, tadika, rumah milik persendirian dan syarikat besar sering mendapatkan khidmat Amirul untuk melukis mural.

“Inilah asam garam sebagai pelukis dan peniaga. Ada ketikanya rezeki lebih, kita perlu bersyukur dan apabila kurang kita perlu bersyukur juga. Ia juga mengingatkan saya apabila kelak, jika ada diberikan rezeki lebih, janganlah sesekali meninggi diri dan lupa untuk menabung.

“Waktu PKP ini sudah sebulan saya tidak ada ‘job’, sejak 10 Jan. Saya buat kerja lain, saya tidak mahu terikat dengan satu-satu perkara saja. Musim PKP ini, ramai yang mahu berniaga dalam talian, jadi saya buat rekaan dan logo produk untuk mereka,” katanya.

Amirul membuat pelbagai kerja asalkan mendapat pulangan wang untuk membayar sewa rumah, ansuran bulanan kenderaan, telefon dan keperluan lain, mencabar diri sendiri “selain melukis mural, apa lagi yang saya boleh buat. Selagi ia adalah seni”.

Amirul akur perit getir seorang pelukis mural.

“PKP juga sudah jadi norma baharu, kita boleh terima. Ini juga untuk kita punya kehidupan, untuk kesihatan diri. Kalau tidak ada PKP sekalipun, ia datang sendiri, supaya kita terus menjaga diri, jaga keluarga dan komuniti sekeliling. Kalau buat macam manapun, jika orang tidak ikut tetap tidak berguna,” katanya.

Amirul berkata, pandemik ini juga mengajarnya berehat.

“Jika tidak, setiap hari saya akan mula kerja pada 8 pagi dan berhenti hanya pada 1 atau 2 pagi. Setiap hari saya akan melukis, kerana permintaan tinggi. Saya ambil ia dari sudut positif, ia juga mengajar saya untuk kenal diri,” katanya.

-FMT