SERDANG, 7 September 2026 (The Capital Post) – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 terus menjadi platform penting dalam mengetengahkan potensi sektor agromakanan serta memperkukuh pembangunan agro pelancongan negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, hadir ke Majlis Perasmian Penutupan MAHA 2026 yang berlangsung di Dewan D2, MAEPS Serdang, Selangor, semalam.
Majlis tersebut disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, dengan MAHA 2026 mengangkat tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” atau “Value Creation for Food Security”.
Penganjuran oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu mengetengahkan ekosistem agromakanan yang berdaya tahan, inovatif dan berasaskan teknologi, selain memberi penekanan kepada usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Pada masa sama, MAHA 2026 turut membuka ruang bagi memperkenalkan potensi agro pelancongan sebagai salah satu komponen yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan Malaysia.
-Advertisement-
MOTAC terus menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam mempromosikan destinasi serta aktiviti berasaskan agro pelancongan, sekali gus menjadikannya antara tarikan pelancongan yang berpotensi besar di negara ini.
Usaha bersepadu antara sektor agromakanan dan pelancongan diyakini mampu mencipta nilai baharu, memperluas peluang ekonomi serta menyokong pembangunan komuniti setempat.
Melalui pendekatan tersebut, agro pelancongan bukan sahaja dapat diperkasakan sebagai produk pelancongan, malah berupaya menyumbang kepada kelestarian sektor agromakanan dan keterjaminan makanan negara. – The Capital Post