AUSTRALIA 2 Julai 2026 (The Capital Post) – Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles sempena lawatan kerja beliau ke negara itu bagi memperkukuh hubungan pertahanan dua hala.
Pertemuan tersebut merupakan susulan kepada perbincangan terakhir antara kedua-dua pemimpin semasa Shangri-La Dialogue di Singapura pada Mei lalu, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Australia dalam mempererat kerjasama pertahanan.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk usaha memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai bidang pertahanan serta meneroka peluang baharu yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
-Advertisement-
Dalam pertemuan itu, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Australia atas sokongan berterusan terhadap kerjasama strategik dan pemindahan teknologi melibatkan Weststar Defence Industries Sdn. Bhd. dan Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI).
Kedua-dua pihak berharap hubungan pertahanan Malaysia–Australia akan terus diperkukuh demi kepentingan bersama serta menyumbang kepada keamanan dan kestabilan di rantau ini. – The Capital Post