KUALA LUMPUR 13 Oktober 2026 (The Capital Post) – Malaysia dan Lubnan berhasrat memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi menerusi pengukuhan hubungan antara institusi, mobiliti akademik serta kolaborasi penyelidikan bagi membuka lebih banyak peluang kepada komuniti akademik kedua-dua negara.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan antara Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dengan Duta Besar Republik Lubnan ke Malaysia, Maher Kheir, yang mengadakan kunjungan hormat kepada beliau semalam.
Dalam pertemuan tersebut, pihak Lubnan menyatakan komitmen untuk meneruskan usaha memperkukuh hubungan dua hala, termasuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama akademik dan penyelidikan bersama.
Perbincangan turut mengambil kira hubungan sedia terjalin antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Islam Lubnan sebagai asas untuk mengembangkan lagi jaringan kerjasama pendidikan tinggi. Malaysia juga menyatakan keterbukaan untuk mempertimbangkan peluang baharu yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
-Advertisement-
Selain itu, penawaran Biasiswa Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Scholarship – MIS) turut mendapat sambutan positif sebagai salah satu saluran untuk menggalakkan penyertaan pelajar cemerlang dan penyelidik dari Lubnan melanjutkan pengajian serta menjalankan penyelidikan di Malaysia.
Kerjasama yang dirancang ini diharap dapat mempererat hubungan Malaysia-Lubnan melalui perkongsian ilmu, pembangunan bakat dan penyelidikan, sekali gus membina hubungan akademik yang berteraskan kepentingan bersama – The Capital Post