‘Malaysia sudah bersedia buat ujian klinikal perubatan ke atas manusia’

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Malaysia kini sudah bersedia untuk melaksanakan percubaan klinikal ke atas manusia, dalam menguji ubat, prosedur atau rawatan baharu, berbanding sebelum ini hanya dilakukan dalam makmal atau menggunakan haiwan.

-Advertisement-

Fasa percubaan klinikal ke atas manusia yang pertama atau First-in-human (FIH) sudah dimulakan di Sarawak awal bulan lalu, selepas mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata selain Hospital Besar Sarawak, sebuah lagi pusat penyelidikan bagi disiplin itu akan dilaksanakan di Hospital Ampang.

Beliau berkata, dengan adanya fasiliti dan disiplin FIH di negara ini, ia berupaya menggalakkan lebih banyak penyelidikan dibuat serta menarik minat syarikat berkaitan memperkenalkan rawatan menggunakan kaedah itu pada masa depan.

“Keupayaan menjalankan FIH ini, memberi peluang kepada Malaysia menerajui pembangunan perubatan dan sains. Paling utama, ia membolehkan negara mempunyai akses kepada terapi baharu melalui kaedah penyelidikan klinikal selamat dan berkualiti.

“Namun pada masa sama, perkembangan ini membolehkan Jawatankuasa Penyelidikan dan Etika Perubatan dan NPRA bersedia menyemak FIS yang terdiri daripada entiti kimia dan biologi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Hari Penyelidikan Klinikal 2023 dan forum anjuran Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan: Timbalan Premier Sarawak, Prof Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Ketua Pegawai Eksekutif CRM, Dr Akhmal Yusof.

Dalam ucaptamanya, Dr Zaliha berkata, kelulusan NPRA itu mencatatkan satu pencapaian memberangsangkan terutama di peringkat global.

-Advertisement-

“Ia dapat dilihat dalam sedekad lalu, penyelidikan yang ditaja membawa lebih daripada RM1 bilion nilai kontrak penyelidikan klinikal negara, dengan ia mewujudkan 2,700 pekerjaan mahir bidang penyelidikan klinikal dan menjayakan lebih 2,000 penyelidikan yang ditaja.

“Dengan penduduk berbilang kaum di negara ini, lebih 1,000 penyelidik berpengalaman dilatih di negara ini, sekali gus merancakkan penyiasat berkebolehan dalam sektor awam, swasta dan kalangan akademik menjadikan Malaysia lokasi ideal untuk sebarang kajian global,” katanya.

Sementara itu, Dr Akhmal berkata, penyelidikan FIH itu akan membabitkan penyelidikan berkaitan kanser atau onkologi yang diusahakan di Hospital Besar Sarawak dengan sasaran 25 hingga 30 sukarelawan mengambil bahagian.

Katanya, persediaan melaksanakan percubaan penyelidikan klinikal ke atas manusia pertama dilakukan sejak 10 tahun lalu dengan dibuat secara berperingkat.

“Antaranya, kita menghantar pakar tempatan ke pusat yang lebih tersohor seperti Princess Margaret Cancer Centre di Toronto, bagi tujuan pembelajaran supaya institusi dalam negara lebih bersedia.

“Selain itu, hasil kesungguhan pasukan di Sarawak, juga berjaya memupuk pengalaman yang sekali gus memberikan panduan kepada kakitangan kelak,” katanya.

Katanya, keselamatan pesakit tetap menjadi keutamaan dalam penyelidikan klinikal FIH itu dengan mereka akan diberi pemantauan lebih teliti, bukan sahaja pemantau di pusat tetapi komuniti kesihatan yang lain, terutamanya NPRA.

“(Namun) saya rasa perjalanan masih panjang dan buat masa ini belum lagi ada yang mendaftarkan sebagai produk untuk digunakan,” katanya. – Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373