Bekalan Makanan Negara Stabil, Rakyat Diminta Tidak Panik — Mohamad Sabu

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 2 Mei 2026 (The Capital Post) — Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu memberi jaminan bahawa bekalan makanan negara kekal terkawal dan stabil untuk jangka pendek, meskipun dunia kini berdepan krisis bekalan global.

Dalam satu kenyataan di Facebook, beliau memaklumkan bahawa stok beras negara mencukupi sehingga hujung tahun, dengan penambahan stok penimbal sehingga 300,000 tan metrik bagi memastikan kestabilan bekalan. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat pembelian panik atau menyimpan stok secara berlebihan.

Menurut beliau, bekalan ayam dan telur kini hampir mencapai tahap sara diri sepenuhnya. Namun, Malaysia masih bergantung kepada import bagi makanan ternakan seperti jagung dan soya, dan usaha sedang dipergiatkan untuk mengurangkan kebergantungan tersebut secara berperingkat.

Bagi sektor sayur-sayuran pula, kementerian sedang menyusun jadual tanaman petani serta memperkukuh sistem ladang kontrak bagi memastikan pengeluaran lebih terancang dan kebajikan petani terus terpelihara.

-Advertisement-

Dalam masa sama, beliau mengakui sektor perikanan berdepan cabaran akibat cuaca panas fenomena El-Nino serta peningkatan kos diesel. Namun, langkah memperkasa sektor akuakultur sedang dilaksanakan sebagai alternatif bagi memastikan bekalan ikan kekal mencukupi.

“Tidak perlu panik dan tidak perlu simpan stok berlebihan. Kerajaan sentiasa peka dan sedang melakukan yang terbaik supaya rakyat tidak terkesan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama semua pihak amat penting dalam menghadapi cabaran semasa, sambil menyatakan keyakinan bahawa negara mampu mengharungi situasi ini secara bersama. – The Capital Post