MCC 2026 Perkukuh Agenda Konservasi Negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUCHING 14 Julai 2026, (The Capital Post) – Malaysian Conservation Conference (MCC) 2026 menjadi medan penting dalam memperkukuh kerjasama pelbagai pihak bagi memperkasakan usaha pemuliharaan biodiversiti dan pengurusan sumber asli secara mampan, selaras dengan agenda kelestarian alam negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), YBhg. Datuk Wira Anis Rizana Mohd. Zainudin telah menghadiri majlis perasmian persidangan tersebut yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, yang mewakili Premier Sarawak. Turut menyampaikan ucapan alu-aluan ialah Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation (SFC), YBrs. Tuan Abang Arabi Abang Aimran.

Dalam ucaptamanya, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah menegaskan bahawa usaha memelihara alam sekitar dan pembangunan ekonomi tidak seharusnya dilihat sebagai dua matlamat yang bertentangan. Sebaliknya, kedua-duanya perlu digerakkan secara seimbang menerusi pelaksanaan dasar yang bertanggungjawab, tadbir urus yang berkesan serta perancangan strategik untuk jangka panjang.

Sejurus selepas majlis perasmian, tetamu kehormat turut mengadakan lawatan ke reruai pameran yang mengetengahkan pelbagai inisiatif berkaitan pemuliharaan biodiversiti, pemeliharaan habitat semula jadi serta pengurusan sumber asli yang mampan.

-Advertisement-

Persidangan anjuran Sarawak Forestry Corporation (SFC) itu menghimpunkan penyertaan daripada agensi kerajaan, penyelidik, institusi akademik, pengamal konservasi dan pemain industri bagi berkongsi pandangan serta membincangkan penyelesaian yang praktikal dalam usaha melindungi biodiversiti negara.

MCC 2026 yang berlangsung selama tiga hari melibatkan penyertaan sekitar 150 hingga 200 delegasi daripada 37 organisasi. Persidangan itu turut menampilkan pembentangan sebanyak 25 kertas teknikal yang memberi tumpuan kepada pemuliharaan biodiversiti, kelestarian alam sekitar dan pengurusan sumber asli sebagai usaha memperkukuh kerjasama serta meneroka pendekatan inovatif bagi menghadapi cabaran konservasi pada masa hadapan. – The Capital Post