Melangkah menuju masa depan gemilang

Estimate Reading Time: 3 minutes

SEJAK beberapa tahun lalu, pertumbuhan ekonomi Malaysia menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran, tetapi dengan tekad mantap, kita tetap mencari peluang baharu demi masa depan lebih gemilang.

-Advertisement-

Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan statistik pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ekonomi kita mencatatkan peningkatan sebanyak 2.9 peratus pada suku kedua 2023.

Dalam unjuran BNM, kita juga dijangka mencapai pertumbuhan ekonomi antara 4.0 hingga 5.0 peratus pada 2023. Ini menunjukkan potensi ekonomi kita untuk bergerak maju dan akan membantu pelabur membuat keputusan perniagaan serta kerajaan dalam merancang dasar ekonomi selain strategi pembangunan.

Data terkini daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan trend inflasi dan pengangguran memberi suasana positif. Pada Julai lalu, kadar inflasi negara menurun kepada 2.0 peratus berbanding 2.4 peratus pada bulan sebelumnya.

Selari dengan itu, kadar pengangguran semakin menguncup saban bulan pada tahun ini untuk mencapai rekod rendah terbaharu pascapandemik. Rekod mutakhir pada Julai lalu menunjukkan kadar pengangguran jatuh kepada 3.4 peratus berbanding 3.6 peratus pada Januari lalu.

Dalam konteks ini, terdapat beberapa perkara penting perlu diberi perhatian. Pertumbuhan ekonomi lebih tinggi memberikan harapan kepada pemulihan dan kemajuan ekonomi Malaysia. Ini boleh memberi kesan kepada pelbagai sektor ekonomi, termasuk industri, perkhidmatan dan pertanian.

Pertumbuhan positif juga dapat meningkatkan keyakinan pelabur dan pengusaha, yang dalam jangka panjang akan memberi kesan kepada pelaburan serta penciptaan peluang pekerjaan. Ini adalah langkah penting dalam usaha mengatasi isu pengangguran dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara mampan, kita perlu mengatasi cabaran seperti kelemahan struktur ekonomi dan isu seperti peraturan perniagaan rumit dan iklim pelaburan kompleks.

Selain itu, Malaysia perlu menghadapi cabaran pelaburan swasta tidak begitu dinamik, pertumbuhan produktiviti rendah dan kecekapan modal perlu ditingkatkan. Kekurangan bakat dan tenaga mahir menjadi antara cabaran utama harus diatasi untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan.

Sementara itu, tekanan dari luar seperti daya saing global, kompleksiti geoekonomi, ancaman terhadap keselamatan ekonomi serta isu alam sekitar dan perubahan iklim semakin kompleks dan meningkat.

Maka, kita tidak boleh leka dalam perlumbaan ini kerana Malaysia perlu merebut peluang baharu dan melakukan penyesuaian dalam dasar serta strategi ekonomi menghadapi tekanan ini.

Ekonomi MADANI: Misi dan Sasaran

Kerangka Ekonomi MADANI adalah satu panduan jelas dalam menghadapi cabaran dan mencapai pertumbuhan berkesinambungan. Usaha kerajaan dengan ‘Menaikkan Siling’ dan ‘Menaikkan Lantai’ dalam kerangka Ekonomi MADANI memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi negara.

Melalui ‘Menaikkan Siling’, kita berusaha meningkatkan daya saing dan pelaburan serta memperkukuhkan ekonomi serantau. ‘Menaikkan Lantai’ pula menggariskan keperluan untuk pertumbuhan inklusif dan peluang sama rata dan adil untuk rakyat.

Transformasi tidak akan berlaku tanpa reformasi. Pengurangan defisit belanjawan fiskal dan agenda transformasi adalah perubahan diperlukan untuk membina dasar fiskal kukuh. Melalui perubahan pemikiran dan keyakinan politik mantap, Malaysia boleh menjadi negara mampan, inklusif dan adil.

Kerangka Ekonomi MADANI dengan sasaran seperti meningkatkan daya saing global, pertumbuhan ekonomi inklusif dan kemajuan dalam indeks pembangunan adalah langkah penting akan membina Malaysia lebih kukuh dan berdaya saing.

-Advertisement-

Kejayaan Ekonomi MADANI bergantung kepada keberanian dan tekad kita dalam melaksanakannya. Jika kita memilih untuk berubah, kita memilih untuk maju. Ketekunan dalam melaksanakan transformasi akan membawa kita kepada masa depan lebih cemerlang dan mampan.

Dalam usaha mencapai pertumbuhan ekonomi mampan dan berdaya saing, kerajaan memandang sebarang cabaran sebagai peluang. Dengan rangka kerja Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), kerajaan berharap meletakkan Malaysia sebagai kuasa ekonomi serantau. Ini juga akan memastikan pengagihan kekayaan ekonomi adil kepada rakyat.

NIMP 2030 dirangka untuk memandu trajektori Malaysia sebagai kuasa global dalam pembangunan industri, melebarkan hubungan domestik bagi menjana kekayaan di seluruh negara dan mengukuhkan kedudukan dalam rangkaian nilai global.

Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pula memperlihatkan sebuah rangka tindakan komprehensif baharu dalam perancangan peruntukan belanjawan negara dan Ekonomi MADANI, pasca-COVID-19.

Menerusi Belanjawan 2023, kerajaan telah dan sedang menjalankan pelbagai program membantu dan memperkasa rakyat serta mengurangkan kos sara hidup. Belanjawan 2024 pula, kerajaan tetap mengambil kira pendapat rakyat dan memperoleh banyak pandangan pemegang taruh dalam perancangannya.

Menangani isu kos sara hidup

Bagi menangani cabaran dihadapi golongan B40 untuk menghadapi kos sara hidup meningkat, kerajaan memperkenalkan program Payung RAHMAH sebagai langkah bantuan jangka pendek.

Program ini meliputi Menu RAHMAH, Bakul RAHMAH, Jualan RAHMAH dan Pakej RAHMAH bertujuan melegakan beban kewangan dihadapi segmen penduduk B40. Selain itu, kerajaan menjalankan program Sumbangan Tunai RAHMAH (STR), menyediakan bantuan tunai sehingga RM2,500 untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.

Terdapat juga program Sumbangan Asas RAHMAH (SARa) sebagai program lanjutan kepada inisiatif STR, bertujuan meringankan beban sara hidup golongan miskin tegar. Ia adalah bagi pembelian barang keperluan asas berjumlah RM600.

Pelajar universiti dan belia tidak dilupakan kerana yang layak sudah mendapat bantuan RM200 untuk perbelanjaan e-wallet melalui program eBeliaRahmah.

Menghadapi cabaran bersama

Perlu disedari, kita menunjukkan kebolehan untuk menghadapi cabaran ekonomi dan mencapai pertumbuhan mengagumkan. Kejayaan ini tidak hanya bergantung kepada usaha kerajaan, tetapi semangat dan daya usaha rakyat Malaysia.

Justeru, kita harus bersatu dalam usaha melaksanakan kerangka Ekonomi MADANI dan menjalankan NIMP 2030 dengan tekad dan keberanian. Dengan komitmen dan kerjasama semua pihak, kita boleh menjadikan Malaysia sebagai kuasa ekonomi serantau yang kukuh dan berdaya saing, sambil memastikan kemakmuran dan keadilan untuk semua rakyat.

Penulis adalah Timbalan Menteri Kewangan I
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373