Bursa Malaysia meningkat ikut jejak Wall Street

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat pada sesi pembukaan dagangan pagi Jumaat, menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang menggalakkan apabila pelabur memberikan tindak balas yang kukuh terhadap data ekonomi Amerika Syarikat (AS).

-Advertisement-

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.83 mata kepada 1,451.41 daripada penutupan Khamis pada 1,449.58, selepas dibuka 0.49 mata lebih rendah pada 1,449.09.

-Advertisement-

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 171 berbalas 108, manakala 206 kaunter tidak berubah, 1,888 tidak diniagakan dan 23 digantung.

Jumlah dagangan 259.80 juta unit bernilai RM70.85 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata walaupun indeks harga pengguna dan indeks harga pengeluar utama untuk Ogos adalah lebih tinggi sedikit daripada jangkaan, konsensus berpendapat Rizab Persekutuan AS tidak akan menaikkan kadar faedah bulan ini.

Justeru, Dow Jones telah meningkat 331 mata manakala Nasdaq menambah 112 mata apabila hasil 10 tahun Perbendaharaan AS melonjak kepada 4.286 peratus.

Beliau menambah, sentimen seharusnya meningkat oleh langkah China untuk mengurangkan nisbah keperluan rizab (RRR) sebanyak 25 mata asas, menyuntik sekitar AS$69 bilion.

Di dalam negara, saham wajaran tinggi Bursa, iaitu CIMB dan Sime Darby masing-masing menambah empat sen kepada RM5.73 dan RM2.22. Maybank, Genting dan AmBank, kesemuanya meningkat dua sen, masing-masing mencatatkan harga RM8.86, RM4.23 dan RM3.68.

Bagi saham aktif, Sapura Energy, Tanco dan SMTrack, masing-masing tidak berubah pada harga enam sen, 23 sen dan tiga sen sementara Alam Maritim dan KNM naik setengah sen kepada 3.5 sen dan 11 sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 memperoleh 15.74 mata kepada 10,391.46, Indeks FBM Emas menambah 16.44 mata menjadi 10,716.90, Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 4.36 mata kepada 10,943.63.

Indeks FBM 70 mengembang 32.71 mata kepada 14,184.26 tetapi Indeks ACE FBM menyusut 3.11 mata kepada 5,161.45.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 33.05 mata kepada 16,270.47, Indeks Tenaga menokok 9.82 mata pada 891.23, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.05 mata kepada 172.29 dan Indeks Perladangan naik 11.33 mata kepada 6,976.530.

-Bernama
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373