KUALA LUMPUR 11 Julai 2026 (The Capital Post) – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) memperkukuh kerjasama strategik bagi membantu vendor komponen automotif tempatan mempercepatkan penerapan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi perniagaan.
Inisiatif tersebut bertujuan melengkapkan syarikat tempatan dengan keupayaan yang diperlukan untuk memenuhi peningkatan tuntutan kelestarian global serta mengekalkan daya saing dalam rantaian bekalan antarabangsa yang semakin menekankan aspek kemampanan.
Seramai kira-kira 50 vendor Perodua menyertai Sesi Kesedaran ESG yang berlangsung di Ibu Pejabat Perodua, Sungai Choh, Rawang, bagi mendapatkan panduan praktikal berkaitan pelaksanaan ESG, jangkaan kelestarian masa hadapan serta sokongan kerajaan yang tersedia untuk membantu proses peralihan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, kelestarian kini menjadi keperluan penting bagi syarikat yang mahu bersaing dalam pasaran global, terutama apabila faktor ESG semakin mempengaruhi keputusan pelaburan dan pemilihan pembekal.
Menurut beliau, kerjasama bersama Perodua membolehkan MIDA memperkasa vendor tempatan menerusi perkongsian ilmu, kemudahan sokongan serta bantuan kewangan melalui inisiatif seperti Dana Pemecut Pelaburan Domestik (DIAF) – ESG Adoption bagi mempercepatkan perjalanan penerapan ESG dalam kalangan syarikat tempatan.
Program berkenaan merupakan kesinambungan daripada kerjasama MIDA dan Perodua menerusi Program Ekosistem Transformasi Digital MIDA–Perodua (DTE), yang kini diperluaskan daripada aspek pendigitalan kepada pembangunan keupayaan ESG serta penggalakan amalan perniagaan mampan dalam kalangan vendor tempatan.
Dalam sesi tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Emerging EEPC Sdn. Bhd., Dr. John Loh berkongsi pengalaman transformasi ESG syarikat berkenaan termasuk manfaat perniagaan yang diperoleh hasil pelaksanaan ESG serta sokongan yang diterima melalui DIAF – ESG Adoption.
-Advertisement-
Turut berkongsi pandangan ialah Ketua Perkhidmatan ESG Genashtim Sdn. Bhd., Ee Beng yang menerangkan pendekatan praktikal untuk mengintegrasikan ESG dalam operasi perniagaan selain memperkenalkan B Impact Assessment (BIA) sebagai rangka kerja bagi membantu syarikat menilai, mengukur dan menambah baik prestasi ESG secara berterusan.
Sesi tersebut turut melibatkan penerangan daripada MIDA mengenai kemudahan DIAF – ESG Adoption termasuk bentuk bantuan kewangan yang disediakan, syarat kelayakan serta proses permohonan bagi syarikat Malaysia yang ingin memperkukuhkan keupayaan kelestarian mereka.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, sokongan berterusan MIDA amat penting dalam memperluaskan penerapan ESG khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi sebahagian daripada ekosistem rantaian bekalan automotif negara.
Beliau berkata Perodua akan terus menyokong usaha berkaitan ESG dalam industri automotif serta menerapkan prinsip ESG dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam operasi perniagaan dan pembangunan rantaian bekalan syarikat.
MIDA turut menegaskan komitmennya untuk terus membantu syarikat tempatan melalui kerjasama strategik serta program pemudahcaraan khusus bagi meningkatkan keupayaan ESG industri Malaysia.
Sesi Kesedaran ESG ini merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas MIDA dalam mempercepatkan penerapan ESG dalam sektor industri tempatan selaras dengan aspirasi ekonomi negara dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), termasuk menyokong kempen #InvestLokal bagi membangunkan ekosistem automotif tempatan yang lebih mampan, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. – The Capital Post