KUALA LUMPUR 2 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang meneliti potensi kerjasama strategik bersama Taman Agro-Perindustrian Sabah (SAIP) dalam usaha memperkukuh pembangunan sektor agro-perindustrian berteraskan sains, teknologi dan inovasi (STI).
Perkara itu dibincangkan dalam satu kunjungan hormat pengurusan tertinggi SAIP yang diketuai oleh Pengurus Besar, Encik Annef Osyairi Osman, bersama barisan pengurusan organisasi berkenaan yang diadakan di Bangunan Parlimen.
Sesi pertemuan tersebut turut disertai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Dr. Mohammad Yusof Apdal serta Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, YB Datuk Ewon Benedick.
Perbincangan memberi tumpuan kepada pelbagai potensi pemanfaatan inisiatif di bawah MOSTI, termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengkomersialan teknologi, pemindahan teknologi, pembangunan usahawan serta pengukuhan rantaian nilai industri agro bagi memperkasa ekosistem SAIP.
-Advertisement-
Dalam sesi sama, SAIP turut berkongsi perkembangan semasa pembangunan ekosistem agro-perindustrian yang merangkumi kemudahan pemprosesan, aktiviti R&D serta perkhidmatan sokongan perniagaan bersepadu bagi mempercepat pertumbuhan industri dan meningkatkan daya saing usahawan tempatan.
Kerjasama strategik ini dijangka membuka lebih banyak peluang pelaburan, mewujudkan pekerjaan baharu serta memperkukuh penyertaan komuniti tempatan, selain menyokong pertumbuhan ekonomi mampan negeri Sabah dan negara secara keseluruhan. – The Capital Post