KUALA LUMPUR, 17 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pengangkutan (MOT) menerima peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi memperkukuh industri teksi negara menerusi Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional.
Program yang disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook itu bertujuan mempercepat proses pembaharuan kumpulan teksi dengan menggantikan kenderaan lama, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan pengguna serta taraf sosioekonomi pemandu teksi.
Program tersebut turut menghimpunkan pemain industri dan menyediakan penerangan mengenai skim pembiayaan mesra pemandu, peluang menjana pendapatan serta proses permohonan permit melalui kerjasama strategik bersama pelbagai agensi dan rakan industri.
Antara agensi yang terlibat ialah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi urusan permit, AirAsia Ride untuk peluang pendapatan tambahan serta Proton Holdings Berhad yang menawarkan pakej pembiayaan bagi model Proton S70.
-Advertisement-
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam membangunkan sistem pengangkutan awam yang lebih mampan, inklusif dan berorientasikan rakyat.
Menurut satu hantaran di Facebook rasmi Ministry of Transport Malaysia, program ini diharap dapat mempercepat proses pembaharuan teksi negara, meningkatkan kesejahteraan pemandu serta memperkukuh kualiti perkhidmatan pengangkutan awam kepada rakyat. – The Capital Post