MOTAC Pantau Projek Pelancongan Terengganu

Estimate Reading Time: < 1 minute

TERENGGANU 15 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mempergiat pemantauan terhadap pelaksanaan projek pembangunan pelancongan di Terengganu bagi memastikan setiap inisiatif berjalan mengikut perancangan dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

Usaha itu dibincangkan menerusi Sesi Libat Urus bersama agensi pelaksana projek pembangunan pelancongan negeri yang berlangsung di Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu pada 14 Oktober lalu.

Sesi berkenaan dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Datuk Surrendren Sathasivam, dengan tumpuan diberikan kepada perkembangan projek di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) serta Program Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naik Taraf (PPUN).

Perbincangan tersebut menjadi platform untuk meneliti status pelaksanaan projek, mengenal pasti keperluan berkaitan serta memperkukuh penyelarasan antara agensi bagi memastikan pembangunan prasarana pelancongan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

-Advertisement-

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, YM Dato’ Tengku Mohd Ariffin bin Tengku A. Rahman; Setiausaha Bahagian Pembangunan Prasarana MOTAC, Mohd Khairul bin Kassim; serta Pengarah MOTAC Terengganu, Mazshida binti Ruslal.

Pemantauan berterusan dan kerjasama antara agensi diharap dapat menyokong pembangunan sektor pelancongan negeri serta memastikan projek yang dirancang memberi manfaat kepada industri dan masyarakat setempat – The Capital Post