KUCHING 22 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyertai pelancaran rasmi Borneo International Halal Showcase (BIHAS) 2026 di Kuching, Sarawak sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh industri halal dan pelancongan mesra Muslim di Malaysia.
Mewakili kementerian pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), YBhg. Dato’ Mohd Yusri Mohd Yusoff, bersama Pengarah MOTAC Sarawak, YBrs. Puan Debbie anak Jenggut Nyelang.
Penganjuran BIHAS 2026 yang berlangsung dari 21 hingga 23 Julai menghimpunkan pemain industri, usahawan, pembuat dasar dan pelabur dari dalam serta luar negara bagi membincangkan peluang pembangunan industri halal, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab halal bertaraf antarabangsa.
Sepanjang program tiga hari itu, pelbagai aktiviti diadakan termasuk forum industri, demonstrasi dapur halal secara interaktif, sesi merasa produk serta pameran yang menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan halal inovatif.
-Advertisement-
Majlis pelancaran rasmi disempurnakan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg selepas ucapan alu-aluan oleh YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, yang turut menegaskan aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai hab halal utama di rantau ini.
Dalam lawatan ke ruang pameran, kepimpinan MOTAC turut mengunjungi reruai Islamic Tourism Centre (ITC) bagi berinteraksi dengan pemain industri dan mendapatkan perkembangan terkini mengenai inisiatif memperkasakan pelancongan mesra Muslim yang mampan.
Penyertaan MOTAC dalam BIHAS 2026 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk mengukuhkan ekosistem industri halal dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim yang berdaya saing di peringkat global. – The Capital Post