‘MoU terbatal jika kerajaan tidak patuhi perjanjian’

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) boleh terbatal dengan sendirinya jika pembangkang tidak dilibatkan dalam setiap perkara yang sudah dipersetujui.

-Advertisement-

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, berkata PH sedia untuk mengambil pendirian berkecuali seperti dipersetujui kedua-dua pihak, jika ada usul undi percaya dibentang di Dewan Rakyat serta berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan, sebagai komitmen balas bagi menjayakan MoU itu.

“Kita bersedia untuk berkecuali dan syarat-syarat yang termeterai dalam MoU mestilah dilaksanakan. Kalau tidak dilaksana, maka ia akan terbatal dengan sendiri.

“Kami ikhlas, kami jujur, kami mahukan tumpuan diberikan untuk lawan COVID-19 dan menyelamatkan ekonomi Malaysia kerana nyawa dan mata pencarian rakyat lebih penting daripada segalanya,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, MoU yang ditandatangani juga sedikit pun tidak melenyapkan peranan PH sebagai blok pembangkang terutama dalam memastikan sistem semak dan imbang dapat dijayakan dalam pentadbiran kerajaan serta di Parlimen.

“Apabila kita tandatangani MoU, tidak bermakna kita tidak mainkan peranan pembangkang. Kalau kerajaan buat tak betul, terus tegur. Kalau ada ketirisan, rasuah, pembangkang tidak akan lepaskan sama sekali.

“Apabila kita ‘sign’ MoU, seperti kita sudah bagi laluan percuma, tidak… tidak.. tidak. Kita masih mainkan peranan semak dan imbang sebagai pembangkang. Kalau ada kesilapan, kita tegur. Kalau ada yang terpesong, kita akan bawa ke pangkal jalan yang betul,” katanya yang turut menandatangani MoU itu dalam satu majlis di Dewan Bankuet di Parlimen, kelmarin.

-Advertisement-

Beliau juga menjelaskan, kesan daripada MoU itu, beberapa tuntutan termasuk berkaitan pengecualian faedah moratoriuam pinjaman bank dan suntikan dana tambahan berjumlah RM45 bilion disambut baik oleh kerajaan dan kesannya kelak sudah pasti diterima oleh rakyat.

“Inilah faedah yang diterima rakyat ekoran MoU yang ditandatangani PH dan tanpa ia ditandatangani, ini semua ini tidak akan terjadi,” katanya merujuk kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam yang mengarahkan institusi perbankan untuk mengusahakan pengecualian bayaran faedah bagi penerima moratorium pinjaman bank dengan segera.

Guan Eng berkata, semangat daripada MoU itu juga perlu diperluas ke setiap pentadbiran negeri baik yang diterajui pembangkang mahupun kerajaan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai usaha mencegah COVID-19, beliau berkata, ujian saringan secara am sebanyak 300,000 sehari atau satu peratus daripada jumlah populasi negara perlu dilaksana sebagai satu langkah pencegahan bagi mengawal sekali gus menghentikan penularan COVID-19.

“Sebab itu perlu buat perbelanjaan lebih untuk usaha ini. Dalam peruntukan RM45 bilion itu, harap sekurang-kurangnya RM5 bilion boleh bagi kepada sektor kesihatan untuk memastikan kita ada katil ICU (unit rawatan rapi) mencukupi, ada kakitangan mencukupi, ada sumber mencukupi untuk menyokong barisan hadapan dan wira-wira kita,” katanya.

Beliau juga menyokong cadangan untuk membina lebih banyak hospital medan dan sementara, yang dapat berfungsi untuk merawat pesakit positif COVID-19, sekali gus menjamin kualiti pemantauan tahap kesihatan yang lebih baik kepada mereka. -BH