SHAH ALAM, 18 November 2026 (The Capital Post) – Pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Selangor perlu disokong dengan penggunaan data saintifik, pengurusan lembangan sungai secara menyeluruh serta kawalan pembangunan bagi memastikan langkah mitigasi yang dilaksanakan benar-benar berkesan.
Kejadian hujan lebat luar biasa pada petang dan malam 5 November lalu yang mengakibatkan banjir di beberapa kawasan termasuk Puncak Alam menunjukkan cabaran yang semakin besar dalam pengurusan risiko bencana susulan perubahan iklim.
Data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan taburan hujan di Puncak Alam sebanyak 103 milimeter (mm) pada hari berkenaan, jauh melebihi kadar normal sekitar 16 hingga 22 mm.
Portal Public InfoBanjir JPS turut merekodkan hujan lebat luar biasa bergerak ke Hulu Selangor menjelang lewat petang, dengan bacaan antara 40 hingga 50 mm dalam tempoh satu jam di Serendah dan Tanjung Malim.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini dilaporkan berkata sebanyak 105 projek RTB jangka panjang bernilai RM4.28 bilion sedang dilaksanakan di seluruh negeri, selain 255 projek tindakan segera bernilai hampir RM70 juta di kawasan panas banjir kilat yang mencapai tahap siap 70 peratus.
Projek jangka panjang yang bermula pada penghujung 2025 itu dijadualkan siap secara berperingkat sehingga 2035.
Bagaimanapun, beberapa pakar berpandangan bahawa peruntukan besar dan pembinaan infrastruktur fizikal sahaja belum mencukupi untuk menjamin keberkesanan usaha menangani banjir.
Pakar statistik yang juga Timbalan Pesuruhjaya Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor, Prof. Emeritus Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata pengurusan banjir perlu berasaskan bukti dan penilaian saintifik, bukan sekadar persepsi.
Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata data tepat, unjuran statistik munasabah, penilaian objektif terhadap projek fizikal dan disiplin masyarakat perlu bergerak seiring bagi memastikan langkah mitigasi mencapai matlamat.
Menurut beliau, terdapat perbezaan angka kawasan panas dan berisiko banjir antara agensi, sekali gus menunjukkan keperluan mewujudkan piawaian data yang seragam dan telus.
Sebagai contoh, laporan hansard persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada 2025 menyatakan terdapat 79 kawasan panas dan 354 kawasan berisiko banjir, manakala data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyenaraikan 64 kawasan panas bagi tahun sama.
Data JPS Selangor pula merekodkan 68 kawasan panas dan 291 lokasi berisiko pada 2025.
Roziah mencadangkan supaya JPS bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk menguji kaedah statistik seperti taburan Generalized Extreme Value (GEV) dan Log-Pearson Jenis III menggunakan rekod aliran sungai tertinggi tahunan.
Analisis itu penting bagi menganggarkan kebarangkalian banjir melebihi kapasiti sistem saliran, khususnya di kawasan hilir seperti Klang yang menerima aliran air dari hulu dan berdepan pengaruh air pasang laut.
Beliau turut mengingatkan bahawa keberkesanan infrastruktur tebatan bergantung pada penyelenggaraan sistem saliran di peringkat komuniti. Parit yang tersumbat akibat sampah domestik dan sisa pukal boleh mengganggu aliran air walaupun kemudahan tebatan serta pam mekanikal telah dibina.
Sehubungan itu, orang ramai digalakkan menyalurkan aduan kepada pihak berwajib supaya tindakan segera dapat diambil, terutama ketika musim tengkujuh.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam UiTM, Dr Suzana Ramli berkata keberkesanan projek tindakan segera boleh dinilai dalam tempoh satu hingga tiga tahun selepas pelaksanaan melalui perubahan kedalaman banjir dan tempoh air surut.
Bagi projek berskala besar yang melibatkan keseluruhan lembangan sungai, pemantauan berterusan selama lima hingga 10 tahun diperlukan untuk menilai kesannya secara menyeluruh.
Beliau menegaskan bahawa perancangan mitigasi perlu mengambil kira keseluruhan lembangan sungai kerana sistem berkenaan saling berkait.
Mengulas peruntukan RM100 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi pembinaan kolam takungan dan penyelenggaraan sungai di Lembah Klang, selain penilaian kapasiti Empangan Batu dan Empangan Klang Gates bagi tempoh 30 tahun akan datang, Suzana berkata penilaian menyeluruh terhadap sistem saliran bandar juga perlu dilaksanakan.
Menurut beliau, penilaian kapasiti empangan sahaja tidak mencukupi kerana banjir kilat bandar turut berpunca daripada peningkatan mendadak air larian permukaan.
Keupayaan keseluruhan sistem saliran termasuk longkang, parit utama, kolam takungan dan rumah pam perlu dinilai bagi mengelakkan penyelesaian di satu kawasan memindahkan risiko banjir ke kawasan hilir yang lain.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperketat penguatkuasaan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) supaya pemaju melaksanakan kawalan air hujan di punca dan bukan sekadar memenuhi syarat secara dokumentasi.
-Advertisement-
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran pula berkata antara kelemahan pengurusan banjir ialah pelaksanaan projek secara berasingan tanpa mengambil kira kesannya terhadap kawasan lain.
Beliau mengambil contoh Terowong SMART di Kuala Lumpur yang membantu mengurangkan risiko banjir setempat, namun pelepasan air ke Sungai Klang berhampiran Angkasapuri berpotensi menambah beban aliran di kawasan hilir sekiranya kapasiti sungai tidak ditingkatkan.
Piarapakaran berkata setiap projek tebatan perlu mempunyai petunjuk prestasi yang jelas bagi mengukur keberkesanannya, bukan hanya berdasarkan kemajuan pembinaan atau jumlah peruntukan yang dibelanjakan.
Beliau turut memberi amaran bahawa perubahan guna tanah di kawasan tadahan ketika projek tebatan sedang dibina boleh menjejaskan reka bentuk asal sistem saliran berikutan pertambahan kawasan berturap.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri membekukan pembangunan di lokasi berisiko tinggi serta memperluas fungsi kolam takungan sedia ada bagi meningkatkan kapasiti menampung air larian permukaan.
Data JPS menunjukkan lapan daripada sembilan daerah di Selangor merupakan kawasan panas banjir, dengan Klang dikenal pasti sebagai daerah paling kritikal, manakala Petaling merupakan kawasan yang paling kerap dilanda banjir kilat.
Jumlah kejadian banjir di negeri itu direkodkan sebanyak 120 pada 2021, 107 pada 2022 sebelum menurun kepada 75 kejadian masing-masing pada 2023 dan 2024.
Bagaimanapun, penurunan jumlah kejadian banjir tidak bermakna kesan ekonominya semakin kecil. Data DOSM menunjukkan Selangor mengalami kerugian kira-kira RM3.1 bilion susulan banjir besar pada penghujung 2021 dan awal 2022.
Bencana pada minggu ketiga Disember 2021 itu menyebabkan 186 kawasan di kesemua sembilan daerah di Selangor ditenggelami air.
Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Taman Sri Muda dan Seksyen 25 di Shah Alam serta Sri Nanding di Hulu Langat, apabila penduduk terperangkap di kediaman masing-masing dan terpaksa berlindung di tingkat atas serta bumbung rumah.
Selangor menyumbang 50.8 peratus daripada keseluruhan kerugian banjir negara yang berjumlah RM6.1 bilion pada tahun berkenaan.
Kerugian negeri itu kemudian menurun kepada RM95 juta pada 2022 dan RM13.9 juta pada 2023, sebelum meningkat kepada RM22.6 juta pada 2024 serta RM52.9 juta pada 2025.
Kerugian akibat banjir sepanjang Monsun Timur Laut 2025/2026 sahaja dianggarkan mencecah RM79.9 juta, dengan sebahagian besar melibatkan infrastruktur awam dan harta benda penduduk.
Dalam menghadapi risiko cuaca yang semakin tidak menentu, Roziah mencadangkan supaya kerajaan negeri menyediakan Papan Pemuka Banjir Selangor bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini dan membantu penyelarasan tindakan antara agensi.
Sistem itu dicadangkan diterajui secara teknikal oleh JPS Selangor dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), pihak berkuasa tempatan dan pengendali jalan raya di bawah penyelarasan Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri.
Antara maklumat yang boleh dipaparkan termasuk paras air, jalan yang ditutup serta laluan alternatif bagi membolehkan penduduk membuat persediaan awal dan mengelakkan kawasan berbahaya.
Sementara itu, mangsa banjir besar di Taman Sri Nanding pada 2021, Ahmad Erwan Othman, 39, berkata beliau masih bimbang kejadian sama berulang meskipun kerja mengorek sungai berhampiran kawasan perumahannya dilaksanakan secara berkala.
Beliau berkata langkah berkenaan setakat ini membantu mengurangkan risiko banjir, namun pengalaman air naik sehingga paras dada ketika kejadian 2021 masih menghantui keluarganya.
Ahmad Erwan yang bekerja sebagai penjawat awam berkata keluarganya terpaksa berlindung di tingkat dua rumah ketika kejadian itu, dengan kerugian harta benda dianggarkan sekitar RM40,000.
Keberkesanan projek RTB jangka panjang yang sedang dilaksanakan hanya dapat dinilai dalam tempoh akan datang. Sementara menunggu projek berkenaan disiapkan, penduduk masih berdepan risiko kerugian harta benda serta tekanan emosi setiap kali banjir melanda.
Kesan bencana juga tidak berakhir apabila air surut kerana penduduk perlu membersihkan lumpur, menangani bau busuk, menilai kerosakan kediaman dan menanggung kos menggantikan peralatan yang musnah. – The Capital Post