PDRM Sabah, LPJ Perkukuh Kerjasama Cegah Jenayah

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU, 7 September 2026 (The Capital Post) – Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Mohd Azhar bin Hamin, menerima kunjungan hormat Timbalan Pengerusi Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) Kementerian Dalam Negeri, YBrs. Puan Asliza binti Ali, bersama delegasi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

Pertemuan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Laban Rata, Tingkat 4, IPK Sabah itu menjadi platform bagi memperkukuh kerjasama strategik serta meningkatkan sinergi antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah dengan LPJ.

Selain mempererat hubungan antara kedua-dua pihak, pertemuan berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasa pendekatan pencegahan jenayah melalui kerjasama antara agensi serta penglibatan komuniti.

Kerjasama yang diperkukuh itu diharap dapat meningkatkan keberkesanan inisiatif pencegahan jenayah, di samping memperluas kesedaran masyarakat mengenai kepentingan bersama dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan komuniti.

-Advertisement-

Sinergi berterusan antara PDRM Sabah dan LPJ juga dilihat penting bagi menyokong usaha mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, aman dan sejahtera khususnya bagi masyarakat di negeri Sabah.

Turut hadir ialah Anggota LPJ, DCP Dato’ Ahmad Dzaffir bin Mohd Yussof; YBhg. Datuk Seri Abdul Razak bin Musa; YBhg. Dato’ Khalil Azlan bin Chik; Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), DCP Datuk Mohd Faisal bin Yahya; Ketua Jabatan Pengurusan Sabah, SAC Datuk Ahsmon bin Bajah serta delegasi yang terlibat. – The Capital Post