Pemanasan global naikkan suhu laut ke paras memecahkan rekod

Estimate Reading Time: 2 minutes

PARIS: Lautan dunia memerangkap haba berlebihan sehingga cukup untuk ‘mendidihkan berbilion kolam renang bersaiz Olimpik’, menurut satu laporan tahunan yang diterbitkan semalam.

-Advertisement-

Lautan meliputi 70 peratus daripada permukaan bumi dan ia menyerap 90 peratus haba berlebihan yang terhasil akibat pencemaran karbon berikutan aktiviti manusia sejak awal zaman perindustrian.

Menurut anggaran Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat (AS) dan Institut Fizik Atmosfera China (IAP), pada 2023, lautan menyerap sekitar sembilan hingga 15 Zetta Joule, kadar yang lebih tinggi berbanding 2022.

Satu Zetta Joule tenaga bersamaan dengan kira-kira 10 kali tenaga elektrik yang dijana di seluruh dunia dalam tempoh setahun.

“Setiap tahun, seluruh dunia menggunakan kira-kira setengah Zetta Joule tenaga untuk memacu ekonomi.

“Dalam erti kata lain, 15 Zetta Joule adalah jumlah tenaga yang mencukupi untuk proses memanaskan 2.3 bilion kolam renang bersaiz Olimpik,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam jurnal Kemajuan Dalam Sains Atmosfera pada 2023, suhu permukaan laut dan tenaga yang disimpan sehingga kedalaman 2,000 meter, kedua-duanya mencapai rekod tertinggi.

Jumlah tenaga yang disimpan di lautan adalah petunjuk utama pemanasan global kerana ia kurang dipengaruhi oleh kebolehubahan iklim semula jadi, berbanding suhu permukaan laut.

Sebahagian daripada jumlah besar tenaga yang disimpan di lautan menjadikan 2023, tahun yang penuh dengan gelombang panas, kemarau dan kebakaran hutan, malah setakat ini, ia adalah suhu terpanas yang pernah direkodkan.

-Advertisement-

Semakin panas lautan, semakin banyak haba dan kelembapan memasuki atmosfera.

Ini membawa kepada cuaca yang semakin tidak menentu seperti angin kencang dan hujan lebat.

Suhu permukaan laut yang lebih panas didorong kebanyakannya oleh pemanasan global, khususnya disebabkan pembakaran bahan api fosil.

Setiap beberapa tahun, fenomena cuaca yang berlaku secara semula jadi, El Nino, menghangatkan permukaan laut di selatan Pasifik, ia membawa kepada cuaca yang lebih panas di seluruh dunia.

El Nino semasa dijangka memuncak pada 2024, sebaliknya fenomena yang dipanggil La Nina secara berkala membantu menyejukkan permukaan lautan.

Kumpulan saintis turut bimbang terhadap kapasiti jangka panjang lautan untuk terus menyerap 90 peratus haba berlebihan daripada aktiviti manusia.

– REUTERS

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373