Pencari rahsia mayat

Estimate Reading Time: 3 minutes

MENGENDALIKAN bedah siasat dan pengecaman mayat membabitkan tubuh manusia masih lengkap hingga kepada serpihan kerangka tulang, daripadanya hancur dan mereput, antara pengalaman terus ‘menghantui’ pakar forensik ini.

-Advertisement-

Pensyarah dan Pakar Perunding Forensik, Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HTCM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Faridah Mohd Nor adalah nama besar dalam bidang forensik negara terutama dalam penyelidikan berkaitan tulang manusia dan haiwan.

Kerjanya merangkumi tugasan mengenal pasti tulang, mencari identiti tulang mayat, punca kematian, cara kematian dan waktu kematian.
Sudah berkhidmat 23 tahun dalam bidang itu, Dr Faridah sudah mengendalikan bedah siasat membabitkan lebih 5,000 kes jenayah termasuk berprofil tinggi seperti pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan penyanyi, Along Spoon.

Katanya, kes Sosilawati yang pernah menggemparkan seluruh negara, antara paling rumit dirungkai kerana tubuh mangsa tidak dijumpai di tempat kejadian.

Mengimbas semula detik ditugaskan menjalankan siasatan forensik klinikal ke atas bahan bukti dijumpai bagi kes Sosilawati, ia antara kes paling sukar pernah dikendalikannya.

“Mayat mangsa langsung tak dijumpai dipercayai akibat dibakar, kemudian sisanya dibuang ke sungai. Memang ada penemuan tulang tetapi keadaannya sudah terbakar sangat teruk.

“Saya sudah minta X-Ray (dibuat atas tulang itu). Mereka kata sudah terbakar dan tiada apa boleh dilakukan lagi,” katanya ketika ditemui pada Hari Bersama Media sempena 25 Tahun HCTM, UKM.

Hadir sama, Pengarah HCTM, Datuk Prof Dr Razman Jarmin.

Tulang reput, tapi keras seperti batu

Tulang dijumpai itu sudah mereput dan terlalu keras seperti batu.

Beliau terbabit secara tidak langsung dalam pemeriksaan tulang secara mikroskopik bagi menentukan sama ada tulang manusia atau bukan manusia.

Analisis mengambil masa sebulan bagi tujuan memproses tulang.

“Tiada apa boleh dilakukan kerana tulangnya hangus terbakar. Tulang terlalu keras seperti batu kerana dipercayai berada lama dalam air. Percubaan saya untuk potong tulang itu juga tak berhasil, ia hancur bila dipotong.

“Akhirnya kita gunakan barang peribadi mangsa, iaitu jam tangan. Ini adalah kes pertama di Malaysia mahkamah menjatuhkan hukum menggunakan barang peribadi mangsa.

“Di luar negara seperti Amerika Syarikat, kes seperti ini pernah berlaku. Ini bergantung budi bicara mahkamah, sama ada mahu menerima barangan peribadi (sebagai bukti). Di pihak forensik, kita sudah cuba sehabis baik,” katanya tugasnya berlarutan kerana perlu tampil di mahkamah bagi tujuan pengesahan penemuan.

Mengenai kes Altantuya, katanya, kes itu lebih mudah kerana masih ada beberapa bahagian badan mangsa dijumpai di tempat kejadian termasuk tulang, rambut dan kulit kepala keadaannya masih baik.

“Semua kes sukar dan ada kekangannya. Contoh, nahas kapal terbang, mayat hancur dan berkecai, namun masih boleh dibuat analisis sampel asid deoksiribonukleik (DNA)  pada serpihan tisu atau tulang.

“Sebab itu digalakkan duduk di tempat asal, supaya jika berlaku kemalangan. Lebih mudah pemeriksaan dan pengecaman dibuat,” katanya.

Analisa mayat tertanam dalam tanah

Mengenai keadaan mayat dijumpai berada dalam air, katanya ebiasaan keadaan fizikalnya masih utuh dan boleh dibuat analisis DNA serta pemeriksaan organ dalaman bagi

mengenal pasti penyakit dalaman.

Mayat tertanam dalam tanah pula, biasanya masih boleh dilakukan pemeriksaan.

“Contoh kalau tanah kering, biasanya masih boleh bertahan lama. Kalau tanah lembap, akan cepat reput.

“Analisis DNA masih boleh dilakukan, tetapi keracunan ubat atau racun mungkin tidak lagi boleh dikesan kerana meresap dan hilang ke dalam tanah sekeliling,” katanya.

-Advertisement-

Tulang paha manusia lambat reput

Tulang manusia paling lambat mereput dan paling besar adalah di bahagian paha.

Selain tulang, gigi dan rambut perlu untuk tahu identiti. Dalam kes jenayah dengan mayat mangsa dijumpai agak lewat, gigi biasanya hilang kadang kala dibawa lari binatang.

“Organ dalaman seperti otak, ginjal dan hati sekiranya masih utuh boleh digunakan bagi ujian toksikologi terutama dalam kes pereputan badan.

“Difteria atau arthropod dewasa dan larva boleh dihantar ke jabatan kimia untuk analisis racun dan ubat.

“Darah, rambut, kuku serta baju si mati juga boleh dihantar bagi analisis DNA bagi tujuan perbandingan,” katanya.

Keperluan bedah siasat

Menyentuh keperluan bedah siasat, bukan semua kes kematian perlu melalui proses itu, sama ada tujuan klinikal atau membabitkan kes polis.

“Bagi proses forensik klinikal, ia dibuat untuk tahu tahap penyakit. Hospital ingin kenal pasti tahap penyakit si mati dan apa kesan rawatan.

“Jadi, perlu minta keizinan keluarga untuk melakukan bedah siasat, iaitu dipanggil bedah siasat klinikal,” katanya.

Bagi kes forensik jenayah, ia membabitkan kerjasama dengan polis.

“Kita buat bedah siasat kes jenayah dengan arahan polis dan ada bersama ketika proses dijalankan.

“Bedah siasat bertujuan nak cari sebab kematian seperti kematian mengejut dan mencurigakan, selain kematian berpunca daripada kemalangan, bunuh diri, jenayah dan sebagainya.

Menceritakan pengalamannya menjalankan kes forensik, beliau mengakui ada sesetengah keluarga tidak boleh menerima hasil bedah siasat dijalankan, malah meminta ujian forensik semula walaupun mayat mangsa sudah dikebumikan.

“Ada juga ahli keluarga tak berpuas hati punca kematian dan minta cari gali semula.

“Jadi, kita berusaha jumpa keluarga untuk terangkan keadaan sebenar sebab semua proses siasatan sudah dijalankan.

“Kalau masih tak berpuas hati kita nasihat, buat laporan polis untuk pemeriksaan kali kedua. Cuma kita tidak tahu sama ada boleh dapat maklumat dikehendaki.

Lalui perkara mistik

Beliau pernah ‘dihantui’ perkara mistik termasuk insiden menyeramkan.

Antara pengalaman tidak dapat dilupakan terdengar bunyi jeritan kuat ketika kerja memotong tulang.

“Kejadian ini berlaku sewaktu saya menuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di United Kingdom (UK).

“Tulang itu dihantar dari Malaysia dipercayai milik seorang warga Indonesia. Tapi apabila potong tulang itu, saya dengar seakan jeritan dan menyebabkan sakit kepala. Saya rasa dia ‘menyimpanlah’ (ilmu mistik),” katanya.

Antara amalan elak gangguan, beliau mengamalkan bacaan zikir, selain bacaan al- Quran setiap hari satu juzuk.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373