BANDA ACEH: Penduduk Kampung Ladong di Aceh Besar, semalam menolak kehadiran 137 orang pelarian Rohingya di pusat perlindungan sosial di kampung itu.
Memetik laporan ANTARA, seorang penduduk kampung, Armansyah, berkata dia dan penduduk kampung lain mengadakan bantahan terhadap penempatan pelarian di pusat perlindungan terbabit berikutan pengalaman buruk pernah dialami bersama kumpulan pelarian sebelum ini.
“Kami menyambut gelombang pertama pelarian Rohingya di sini dengan tangan terbuka, bagaimanapun ramai yang berkelakuan buruk sehingga mengganggu penduduk setempat,” katanya yang turut memberitahu ramai pelarian yang ditempatkan di pusat perlindungan itu bertindak melarikan diri.
Malah, menurut Armansyah, ramai pelarian terbabit dalam konflik dengan penduduk tempatan.
Ketika protes diadakan, penduduk kampung menghadang pagar depan Rumoh Seujahtera Beujroh Meukarya Ladong Tuna Sosial bagi menghalang pelarian daripada memasuki kemudahan itu.
Susulan insiden itu, pelarian gagal memasuki pusat perlindungan Pejabat Hal Ehwal Sosial Aceh.
Ia adalah penolakan kali kelima oleh penduduk tempatan sejak kapal pelarian itu tiba di Pantai Blang Raya, kelmarin.
ANTARA sebelum ini melaporkan, pelarian Rohingya yang ditolak penduduk kampung Ladong dipindahkan dari Taman Sri Ratu Safiatuddin yang terletak berhampiran pejabat Gabenor Aceh.
Usaha pihak berkuasa sebelum ini menempatkan pelarian di pusat perlindungan sementara di Lamreh, Aceh Besar dan Kem Pengakap Pidie turut gagal berikutan penolakan daripada penduduk tempatan.
Pegawai Badan Ketenteraman Awam (Satpol PP) Aceh, Azmanto, berkata pejabatnya diarah membawa pelarian ke Kampung Ladong untuk tinggal di pusat perlindungan sosial itu.
“Kumpulan pelarian itu sepatutnya tinggal di pusat perlindungan sosial berkenaan selama seminggu.
“Wakil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) turut tiba di pusat perlindungan sosial ini.
“Kami mewakili Satpol PP dan pentadbiran Aceh membawa pelarian ke Ladong (tempat perlindungan sosial),” katanya sebelum menghantar pelarian ke pusat perlindungan itu.
Beliau menyelaraskan usaha itu bersama pegawai pusat perlindungan bagi mengelak sebarang kemungkinan penolakan daripada masyarakat setempat memandangkan kemudahan itu dimiliki oleh pentadbiran Aceh.
Mengenai ketibaan terbaru pelarian Rohingya, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan sedang menyediakan perlindungan sementara bagi mereka yang sudah memasuki wilayah Indonesia.
Menteri Luarnya, Retno Marsudi baru-baru ini menggesa penyelesaian politik terhadap isu Rohingya yang menurutnya tidak dapat dipisahkan dalam menyelesaikan krisis di Myanmar.
– AGENSI
-BeritaHarian