PERKESO Perluas Akses Rehabilitasi Di Sarawak

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 21 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus mempergiat usaha memperluaskan akses kepada perkhidmatan rehabilitasi bagi pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Sarawak menerusi kerjasama strategik dan penambahan kemudahan rawatan pemulihan di negeri tersebut.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan ketika menjawab soalan lisan Senator Tuan Larry Anak Asap di Dewan Negara berkaitan cadangan penubuhan Pusat Rehabilitasi PERKESO di Sarawak.

Menurut beliau, PERKESO ketika ini telah menjalinkan kerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi menyediakan perkhidmatan rehabilitasi menerusi Hospital Pengajar UNIMAS sebagai salah satu usaha memastikan pencarum mendapat akses rawatan pemulihan yang berkualiti.

Selain itu, PERKESO turut mempunyai rangkaian 14 panel Pusat Rehabilitasi di seluruh Sarawak yang menyediakan kemudahan rawatan kepada seramai 756,403 pencarum di bawah skim LINDUNG Pekerja, LINDUNG Kendiri dan LINDUNG Kasih.

-Advertisement-

Mengulas mengenai cadangan membangunkan Pusat Rehabilitasi PERKESO khusus di Sarawak, KESUMA memaklumkan perkara tersebut sedang diberi perhatian dan akan dinilai secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.

Penilaian tersebut akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk keadaan sosioekonomi, kelestarian sumber kewangan, keperluan semasa pencarum, faktor geografi serta kos pembangunan bagi memastikan sebarang kemudahan baharu yang dirancang dapat memberi manfaat jangka panjang.

Langkah memperkukuh jaringan rehabilitasi ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pencarum PERKESO di seluruh negara, termasuk Sarawak, menerima sokongan pemulihan yang lebih mudah dicapai dan berkesan. – The Capital Post