Pertemuan di Jepun Suntik Semangat Kadet dan Pegawai ATM

Estimate Reading Time: < 1 minute

TOKYO 19 Oktober 2026 (The Capital Post) – Lawatan kerja ke Jepun dimanfaatkan untuk mengadakan pertemuan santai bersama tujuh kadet dan seorang pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang mengikuti pengajian serta kursus di National Defense Academy of Japan.

Pertemuan menerusi jamuan makan malam itu memberi ruang untuk bertanya khabar, bertukar pandangan dan mendengar pengalaman mereka sepanjang menjalani pengajian serta latihan di negara berkenaan.

Kadet dan pegawai ATM yang terpilih mengikuti program tersebut berpeluang memperluas pengetahuan, menimba pengalaman antarabangsa serta membina hubungan profesional yang dapat dimanfaatkan dalam perkembangan kerjaya dan masa depan organisasi pertahanan negara.

-Advertisement-

Dalam pertemuan itu, mereka turut diingatkan agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk meningkatkan ilmu, memperluas jaringan hubungan dan membawa pulang pengalaman berharga demi pembangunan ATM.

Penghargaan turut disampaikan kepada semua yang meluangkan masa menghadiri pertemuan tersebut, dengan harapan mereka akan terus mencapai kecemerlangan serta mengharumkan nama Malaysia dan ATM sepanjang berada di luar negara – The Capital Post