BAYAN LEPAS: Bagaikan ‘Pesta Tong Ayaq (air)’ begitu kata pekerja di sebuah pasar raya di Teluk Kumbar di sini, apabila premis berkenaan ‘diserbu’ ratusan pelanggan setiap hari bagi membeli tong air sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan bermula 10 hingga 14 Januari ini.
Pekerja, Amin Jafni berkata pesta berkenaan bermula sejak gangguan bekalan air selama beberapa hari pada 19 Disember tahun lalu, bagi membeli tong air antara saiz 45 hingga 140 liter di pasar raya berkenaan.
“Setiap hari, kira-kira 1,000 tong air dihantar pembekal ke sini dan biasanya akan terjual hingga 800 unit sehari.
“Kunjungan pelanggan paling ramai sekitar jam 8 hingga 10 malam bagi membeli tong air dan keadaan sangat meriah seperti berada di pesta,” katanya ditemui di sini, semalam.
Mengulas lanjut Amin berkata, pelbagai insiden termasuk gelagat lucu yang berlaku sepanjang pesta tong ayaq itu.
“Ada yang datang lewat dan sudah tiada tong air maka berlaku pergaduhan kerana berebut baki tong yang ada.
“Juga gelagat lucu apabila ada pembonceng motosikal telangkupkan tong air di atas kepala bagi membawa pulang tong air bersaiz besar yang sudah dibeli dan bukan sahaja tong air, air mineral pun laris,” katanya lagi.
Tinjauan mendapati, keadaan trafik di laluan berkenaan juga perlahan berikutan pelanggan terpaksa meletakkan kenderaan masing-masing di bahu jalan kerana ruang parkir sedia ada tidak mencukupi.
Terdahulu, seramai 200,000 pengguna di sekitar daerah Seberang Perai dan Barat Daya terjejas susulan pelaksanaan pembaikan saluran paip pecah di dasar sungai Sungai Perai pada 19 Disember lalu.
Sepanjang kejadian itu, terdapat beberapa lokasi di sekitar daerah Barat Daya mengalami gangguan bekalan air selama lapan hari.
Pada sidang media 8 Disember lalu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, kira-kira 590,000 penduduk Pulau Pinang dijangka berdepan gangguan bekalan air berjadual bermula 10 sehingga 14 Januari ini bagi memberi laluan kepada kerja pembaikan di Loji Rawatan (LRA) Sungai Dua.
Ia membabitkan lebih 50 lokasi di Seberang Perai dan hampir keseluruhan kawasan pulau dijadual mengalami gangguan bekalan air termasuk Georgetown, Pulau Tikus, Jelutong, Gelugor, Bukit Jambul, Relau, Bayan Lepas termasuk lapangan terbang, Bayan Baru, Batu Maung, Teluk Kumbar, Teluk Tempoyak, Pulau Jerejak dan Pulau Betong.
-BeritaHarian