PUTRAJAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) diarah melaksanakan langkah mitigasi serta pembetulan segera terhadap semua teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata semua teguran membabitkan 16 isu pengurusan air negara itu perlu diberi perhatian serius.
Antaranya beliau berkata, projek pembangunan sumber air membabitkan lewat jadual, skim bekalan air Tawau, projek pembangunan bekalan lewat jadual, projek peningkatan kualiti air lewat jadual, kadar rizab margin sangat rendah, air tidak berhasil (NRW), pelanggaran parameter air terawat dan pencemaran sumber air.
“Selain itu, PETRA juga mempunyai satu teguran audit dilaporkan dalam laporan PAC yang akan dibentangkan (di Parlimen) tengah hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir sempena Majlis Perhimpunan Bulanan PETRA di sini, hari ini.
LKAN 2/2024 antaranya mendedahkan 145 daripada 712 projek pembangunan infrastruktur air didapati lewat daripada jadual asal antara 86 hingga 1,076 hari membabitkan kos berjumlah RM 6.150 bilion.
Selain itu, sasaran 35 peratus (2020) dan 32 peratus (2023) kadar NRW bagi negeri Kedah, Kelantan, Perlis dan Sabah tidak mencapai sasaran kebangsaan iaitu 51.5 peratus hingga 61.5 peratus pada 2022.
LKAN 2/2024 turut mendedahkan loji rawatan kumbahan menjadi punca utama beban pencemaran tertinggi berjumlah 343 tan/ hari.
Dalam pada itu, Fadillah mengingatkan semua warga kementerian supaya tidak berlebihan dalam membahaskan isu berkaitan penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah membuat penjelasan berhubung isu penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang secara tidak langsung membabitkan syarikat Blackrock di Dewan Rakyat baru-baru ini.
“Sebagai penjawat awam, kita perlu cakna berkaitan isu semasa ini dan penjelasan yang diberikan Perdana Menteri supaya kita tidak terpengaruh dengan maklumat tidak tepat berkaitan isu ini.
“Sehubungan itu, saya mengharapkan supaya semua tidak keterlaluan dalam membahaskan isu berkenaan dan seharusnya membantu kerajaan dalam memperjelaskan isu itu demi menjaga keharmonian dan kepentingan Malaysia sebagai negara yang sedang membangun,” katanya.
-BeritaHarian