UEFA pertahan tindakan pengadil Jerman

Estimate Reading Time: < 1 minute

DORTMUND, Jerman: England menerima talian hayat selepas ketinggalan di tangan Belanda pada aksi separuh akhir Euro 2024 apabila Harry Kane mendapat sepakan penalti kontroversi.

-Advertisement-

Pemain England itu dihadang oleh pemain pertahanan Belanda, Denzel Dumfries ketika dia melakukan rembatan kencang yang melambung tinggi dan pada mulanya, pengadil Felix Zwayer dari Jerman memberikan sepakan gol.

Kane kekal terbaring sambil memegang kaki kanannya dan Zwayer diminta meneliti semula insiden itu menerusi video bantuan pengadil (VAR).

Sepakan penalti kemudiannya diberikan kepada England dan Kane menyudahkannya untuk memadam kelebihan jaringan Xavi Simons.

Keputusan itu jelas tidak disenangi khususnya penyokong Belanda namun ia satu keputusan tepat menurut Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) berdasarkan satu undang-undang spesifik.

Undang-undang menyatakan mana-mana pemain boleh dihukum jika didapati ‘berpotensi mencederakan pemain lawan’ ketika cuba memenangi bola yang mana mengesahkan tindakan Zwayer untuk menukar keputusannya kepada sepakan penalti buat England.

Undang-undang FIFA menyatakan ‘ia dilakukan dengan pemain lawan yang berdekatan dan menyekat pemain lawan daripada memainkan bola atas risiko kecederaan. Bermain dengan cara berbahaya tidak membabitkan sentuhan fizikal antara pemain.

-Advertisement-

“Jika ada sentuhan fizikal, tindakan itu satu kesalahan yang boleh dihukum dengan sepakan percuma terus atau sepakan penalti.

“Bagi kes sentuhan fizikal, pengadil perlu mempertimbangkan secara berhati-hati mengenai kemungkinan yang tinggi salah laku sudahpun dilakukan.”

UEFA menyifatkan tindakan Dumfries berpotensi mengakibatkan kecederaan kepada Kane.

–AGENSI

-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373