Petronas dan rakan kongsi mulakan pengeluaran gas di Oman

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 12 Okt — Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melalui subsidiari, PC Oman Ventures Ltd (PCOVL), bersama dengan rakan kongsinya, BP Exploration (Epsilon) Ltd dan Makarim Gas Development LLC telah memulakan pengeluaran dari medan gas Ghazeer (Fasa 2) di Blok 61, Oman.

-Advertisement-

Firma minyak negara itu berkata, pengeluaran awal di medan gas Ghazeer adalah tiga tahun selepas medan gas Khazzan (Fasa 1) mula beroperasi.

Dengan medan gas Ghazeer, kapasiti pengeluaran dari Blok 61 dijangka meningkat kepada 1.5 bilion kaki padu sehari dengan lebih daripada 65,000 tong sehari yang mengandungi kondensat berkaitan.

Blok 61 dikendalikan oleh BP Exploration dengan kepentingan penyertaan sebanyak 60 peratus, manakala PCOVL memegang 10 peratus dan baki 30 peratus oleh Makarim Gas.

“”Petronas agak teruja untuk menjadi sebahagian daripada konsortium Blok 61 selepas ia menyampaikan hasil dari Ghazeer lebih awal daripada jadual dan yang paling penting, selamat, di tengah-tengah keadaan pasaran yang mencabar.

-Advertisement-

“Kejayaan yang dikongsi bersama ini adalah hasil kerjasama strategik antara rakan konsortium, kontraktor dan kerajaan Oman,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Petronas berharap dapat mengukuhkan perkongsian itu seiring dengan kemajuan yang bakal diraih ke arah penyampaian bekalan tenaga yang bersih, selamat dan boleh dipercayai kepada Oman, sejajar dengan Wawasan 2040 negara tersebut, daripada segi sokongan ke atas pertumbuhan industri tempatan, selain mempelbagaikan ekonominya.

Blok 61, menjadi salah satu pengumpulan gas mampat terbesar di Timur Tengah, mempunyai kapasiti untuk menyampaikan kira-kira 35 peratus daripada jumlah permintaan gas Oman dengan anggaran 10.5 trilion kaki padu sumber gas yang boleh dimanfaatkan, kata Petronas.- BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373