PETRONAS jenama paling bernilai di ASEAN sejak 2011

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: PETRONAS mengekalkan rekod prestasinya selama 13 tahun sebagai jenama paling bernilai ASEAN sejak 2011 dan melonjak 13 anak tangga ke kedudukan ke-141 daripada 500 jenama paling berharga di dunia, demikian menurut laporan Brand Finance Global 500 bagi tahun 2024.

-Advertisement-

Peningkatan 15 peratus nilai jenama minyak dan gas itu kepada AS$14.6 bilion (RM68.8 bilion) didorong oleh unjuran yang lebih baik serta kekuatan jenama yang kukuh meskipun skor Indeks Kekuatan Jenama (BSI) susut kepada 88 daripada 100.

Brand Finance dalam laporan itu berkata, PETRONAS meningkatkan kerjasama dengan pembekal perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) untuk memenuhi permintaan tenaga serta memajukan inisiatif tenaga bersih.

Katanya, untuk meningkatkan kecekapan dan kemampanan pengeluaran minyak dan gas, kira-kira 300 pelan penambahbaikan fasiliti dijadualkan untuk tiga tahun akan datang termasuk projek penukaran turbin gas dan penjana serta kerja-kerja penyelenggaraan penting di kemudahan darat baharu.

“Jenama itu akan menekankan kepentingan ekosistem OGSE yang kukuh untuk memenuhi permintaan tenaga secara mampan dan mampu milik. Sebagai contoh, perniagaan hiliran berkembang menjadi inisiatif tenaga yang lebih bersih, termasuk biofuel, bunker gas asli cecair dan rangkaian kenderaan elektrik (EV) PETRONAS,” katanya.

Sementara itu, Apple mencatatkan pertumbuhan nilai jenama yang luar biasa tahun ini, meningkat sebanyak AS$219 bilion atau 74 peratus kepada AS$517 bilion bagi merampas semula gelaran sebagai jenama paling bernilai di dunia dengan margin yang besar.

Peningkatan luar biasa nilai jenama Apple berlaku walaupun jualan iPhone secara keseluruhan adalah mendatar, namun strategi mencari pasaran baharu, mengembangkan ekosistem dan menggalakkan naik taraf kepada telefon lebih bernilai tinggi adalah amat berkesan.

-Advertisement-

Apple mengekalkan kedudukannya sebagai peserta dominan dalam pasaran telefon pintar premium, dengan 71 peratus penguasaan nilai.

Di rantau ASEAN, jenama minyak dan gas lain dalam kedudukan, PTT, menyaksikan penurunan lima mata dalam skor BSI kepada 82 daripada 100, dan penurunan dalam penarafan kekuatan jenama AAA kepada AAA-.

Sementara itu, Viettel, jenama Vietnam yang menjadi satu-satunya jenama telekomunikasi ASEAN dalam senarai, jatuh tujuh anak tangga dan menjadi jenama ke-241 paling bernilai di dunia.

Walaupun begitu, Viettel mencatatkan peningkatan empat mata dalam skor BSI kepada 89 daripada 100, dengan peningkatan yang sepadan dalam penarafan kekuatan jenama daripada AAA- kepada AAA.

Ia muncul sebagai jenama ASEAN kedua paling kukuh selepas Marina Bay Sands dan pertumbuhan komprehensif Viettel banyak disumbangkan oleh perkembangannya dalam telekomunikasi, pelaburan luar negara, transformasi digital serta pengeluaran industri berteknologi tinggi.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373